Kenyataan Akhbar

MP DAP akan jumpa menteri gesa percepat vaksinasi tenaga kerja


Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP)

Sekumpulan Ahli-ahli Parlimen DAP akan berjumpa dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar minggu depan bagi menggesa agar vaksinasi Covid-19 kepada 16.05 juta tenaga kerja rakyat Malaysia dapat dipercepatkan bagi membantu menjana pemulihan ekonomi yang pantas.

Kegagalan Kerajaan PN untuk mengurus dan mengawal lonjakan gelombang ke-3 jangkitan Covid-19, telah menjadikan Malaysia sebagai negara yang paling teruk di Asia-Pasifik dari segi jumlah jangkitan per kapita. Tiada apa yang lebih penting daripada kesihatan rakyat untuk meningkatkan kadar vaksinasi untuk mengatasi COVID-19.

Keseriusan gelombang ketiga jangkitan COVID-19 telah menimbulkan kemungkinan pusingan baharu PKP akan dilaksanakan semula ke atas satu atau dua negeri. Ini telah membantutkan pemulihan daripada kemelesetan ekonomi paling teruk dalam sejarah dan menyebabkan pengangguran meningkat kepada 4.8% ataupun 778,000 pada Februari 2021, dengan pengangguran belia pada 13.9% atau 348,000 belia menganggur, iaitu kadar tertinggi dalam beberapa dekad ini. 

Apa yang menyedihkan ialah dua orang Menteri PN, iaitu Menteri Sumber Manusia M Saravanan dan Menteri Ekonomi Mustapa Mohamad menyeru secara terbuka kepada siswazah yang tidak mendapat kerja untuk menerima kerja dengan gaji RM1,000. Kedua-dua orang Menteri PN ini berkata bahawa mendapat gaji di bawah gaji minima bulanan RM1,200 yang ditetapkan oleh Kerajaan PH, adalah lebih baik daripada tidak mempunyai pekerjaan. 

Membayar di bawah gaji minima bulanan adalah salah di sisi undang-undang dan boleh dikenakan denda RM10,000. Daripada mengambil tindakan, kedua-dua Menteri mendorong pembayaran gaji seperti itu. Pengkhianatan hak pekerja ini harus dikutuk, dan kedua-dua Menteri PN harus meminta maaf secara terbuka dan menebus kegagalan mereka, dengan mengambil langkah konkrit untuk menegakkan gaji minima.

Demi menyelamatkan dan mencipta pekerjaan serta menyelamatkan perniagaan, Kerajaan PN harus menunaikan janjinya untuk pelanjutan automatik moratorium pinjaman bank (kecuali 20 Teratas) dan melaksanakan program MalaysiaKerja bernilai RM6.5 bilion yang mencipta 350,000 pekerjaan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2020 PH. Di bawah MalaysiaKerja, pekerja Malaysia yang sebelum ini menganggur, akan mendapat insentif upah bulanan sebanyak RM500 sementara majikan akan menerima insentif pengambilan pekerja bulanan sebanyak RM300 bagi jangka masa 2 tahun.

Demi 16.05 juta tenaga kerja di Malaysia, DAP bersedia mengetepikan perbezaan politik kami dengan Kerajaan PN untuk bekerjasama mengalahkan COVID-19, menyokong Program Imunisasi Kebangsaan serta menyelamatkan pekerjaan sedia ada dan mewujudkan pekerjaan baru.