Rencana

Sinar baharu buat pemuda menjelang hari lebaran

Oleh Terence Naidu

(Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Bedamar)

Cerita Rozy Mat Akhir, 45 tahun ini hiba. Tidak berumah dan semenjak Disember hingga kini menumpang tidur di kiosk jalanan berluasan 10′ x 5′ beralas kotak-kotak yang dikumpul sebelum dibawa ke pusat pengumpulan bahan guna semula untuk dijual.

“Sebelum saya menumpang di kiosk ini saya tidur di masjid, stesen bas dan juga menara anjung tinjau tepi Sungai Perak sebelah sana”, kata Rozy sambil menunjuk arah Sungai Perak.

“Bila pakcik-pakcik yang datang ke taman rekreasi ini tahu saya tidur di menara itu mereka suruh saya menumpang di kiosk jalanan yang telah lama tidak digunakan sebab lebih selamat berbanding menara yang tiada berdinding dan terbuka luas,” tambah Rozy.

Pemuda yang kecil tubuhnya itu juga mempunyai masalah kesihatan.

Menghidap penyakit paru-paru berkuman, Rozy berulang alik ke hospital Teluk Intan untuk mendapat rawatan yang selanjutnya.

“Kata doktor, jika saya tidak mencegah penyakit ini dan mengambil ubat-ubat yang diperlukan penyakit saya akan lebih teruk lagi. Saya akan mudah letih dan tiada kudrat untuk menguruskan diri sendiri,” beritahu Rozy.

Rozy di kiosk tumpangannya. – GAMBAR: ADUN PASIR BEDAMAR

Apabila kisah Rozy yang tinggal di kiosk tanpa ada keperluan asas lain selain ruang untuk tidur itu dibawa kepada saya, perkara ini amat meruntun hati kerana kehidupan sebegini di luar norma kehidupan biasa seorang insan.

Saya dimaklumkan Rozy lahir dalam keluarga yang sempurna, mempunyai ibu dan bapanya, adik-beradik, bersekolah rendah dan menengah serta bekerja bagi menyara kehidupan sebelum kembali ke Teluk Intan.

Namun kehidupan yang ‘tidak selalu cerah’ membawa Rozy pada kehidupan yang sukar pada hari ini.

Beberapa hari lagi umat islam akan menyambut Aidilfitri. Kemenangan berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan akan dirai pada 1 Syawal.

Rozy tidak mempunyai impian besar untuk membuat persiapan menyambut lebaran maka saya cuba untuk membawa Rozy ke satu kehidupan yang lebih baik.

Dengan bantuan dari Penghulu Durian Sebatang saya dimaklum ada bilik untuk disewa. Syukur dan perkhabaran ini mendamaikan hati saya kerana Rozy boleh dipindahkan dari kiosk ini secepat mungkin.

Usai membayar sewa dua bulan sekali gus, lapik kotak yang selama ini menjadi alas tidur Rozy saya gantikan dengan tilam dan bantal empuk.

Dapur yang ada hanya digunakan untuk merebus mi segera, saya tambah dengan periuk nasi elektrik dan cerek elektrik agar Rozy boleh masak nasi dan minum air panas bila-bila masa.

Biskut dan roti juga dibekalkan supaya ada makanan yang boleh menjadi lapik perut jika dinihari nanti Rozy lapar dan mahu mudah bersahur.

Bilik ada kipas siling dan ada juga beranda buat Rozy mengambil angin melepas lelah. Hasrat saya untuk melihat Rozy menikmati kehidupan yang lebih baik pada hari lebaran nanti termakbul.

Tengah hari semalam (7 Mei 2021) ketika Rozy masuk ke bilik sewanya, ada sedikit nada gembira bila berbicara berbanding tutur kata bernada sedih ketika mula-mula saya berjumpa Rozy di kiosk tumpangannya.

Terence Naidu memberi sumbangan kepada Rozy. GAMBAR: ADUN PASIR BEDAMAR

Kisah benar Rozy yang tiada tempat ini mewakili ramai yang masih tinggal di rumah-rumah sederhana berstatus setinggan sama ada di tanah-tanah rizab kerajaan yang berada di sekitar tebing Sungai Perak atau berstatus rumah sewa di tanah-tanah milik persendirian.

Hari ini mungkin mereka masih dibenarkan untuk tinggal di tanah-tanah rizab selagi tidak ada rancangan pembangunan di sana.

Begitu juga yang menyewa rumah ketika ini masih ada kudrat untuk mencari wang bagi membayar perbelanjaan sewa namun jika pada satu hari nanti mereka terpaksa berpindah keluar kerana pembangunan, apakah nasib hidup mereka kelak?

Maka, saya menyeru agar kerajaan hari ini mula memikirkan masa depan golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah dengan memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR).

Saya juga ingin berkongsi kegembiraan apabila menerima perkhabaran bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat telah memproses bantuan am kepada Rozy sebanyak RM300 dan juga ada menerima sumbangan bahan asas daripada Majlis Perbandaran Teluk Intan.

Terima kasih kepada agensi yang terlibat kerana bersama-sama saya membantu saudara Rozy untuk menikmati kegembiraan di bulan yang mulia ini dan seterusnya meraikan kedatangan Aidilfitri. – Roketkini.com