Berita

Vaksin: Kenapa permohonan P. Pinang tak dapat maklum balas KKM?

Oleh B. Suffian

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim mempersoalkan mengapa permohonan Pulau Pinang untuk mendapatkan vaksin Covid-19 tidak mendapat sebarang maklum balas Kementerian Kesihatan selepas tiga bulan.

Beliau menambah, ini sedangkan Sarawak sudah pun mendapat kelulusan.

“Ini menimbulkan persoalan bagaimana Sarawak boleh mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan untuk membeli bekalan mereka sedangkan Pulau Pinang tidak menerima kelulusan yang sama.

“Adakah ini kerana perbezaan politik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin pada April lalu dilaporkan telah mengatakan bahawa kerajaan negeri yang berhasrat membeli sendiri bekalan vaksin Covid-19 boleh membuat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan.

Beberapa hari lepas, Menteri Muda Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak, Dr. Annuar Rapaee mengatakan Sarawak bakal menerima 500,000 dos vaksin Covid-19 Sinovac yang dibeli melalui inisiatif kerajaan negeri. 

Sejak 15 Februari 2021, jelas Steven, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memohon kebenaran Kementerian Kesihatan untuk menerima sumbangan 2,000,000 dos vaksin Sinovac bagi kegunaan rakyat Pulau Pinang tanpa melibatkan kos kepada Kerajaan Persekutuan.

Namun selepas tiga bulan, ujarnya, permohonan tersebut masih tidak mendapat maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan.

“Isu bekalan vaksin adalah masalah utama dalam program imunisasi sekarang apabila bekalan vaksin tidak mencukupi.

“Walaupun Fasa 2 pemberian vaksin sudah bermula pada April 2021, sehingga kini, masih ramai warga emas yang merupakan kumpulan sasaran bagi fasa ini masih belum mendapat tarikh untuk menerima vaksin pertama mereka,” katanya. – Roketkini.com

Baca kenyataan penuh Steven: https://stevensim.com/2021/05/17/mengapa-permohonan-pulau-pinang-untuk-mendapatkan-vaksin-covid-19-tidak-mendapat-sebarang-maklum-balas-kkm-selepas-3-bulan-sedangkan-sarawak-sudahpun-mendapat-kelulusan/