Berita, Isu Semasa

Tangani defisit keyakinan terhadap SOP dan kawalan pergerakan – Syahredzan

Oleh Ghafar NS

Selepas lebih setahun Covid-19 melanda negara, dapat dilihat semakin ramai rakyat Malaysia tidak mematuhi SOP dan kawalan pergerakan, berbanding beberapa bulan pertama negara dilanda wabak pada tahun lepas.

Setiausaha politik kepada ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang iaitu Syahredzan Johan berkata, kini semakin ramai yang mencari kaedah untuk tidak patuh pada peraturan yang ditetapkan.

Selain fenomena ‘Covid fatigue’ yang menjadi punca kepada hal ini, keadaan sekarang ini juga disumbang oleh kehilangan keyakinan rakyat terhadap SOP dan kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan.

“Rakyat sering melihat isu-isu seperti SOP yang cacamarba dan sering bertukar, ‘mixed messaging’ daripada Kerajaan serta isu ‘antara dua darjat’ dalam perlaksanaan peraturan berkenaan dengan Covid-19, dan ini semua menyebabkan rakyat semakin hilang kepercayaan,” tambah Syahredzan lagi.

Menurutnya, apabila defisit keyakinan rakyat pada undang-undang dan peraturan, maka ramai yang akan melanggar SOP serta kawalan pergerakan dengan mencari pelbagai alasan.

“Kerajaan tidak boleh memandang enteng tentang defisit keyakinan ini, kerana tanpa kepercayaan dan keyakinan rakyat, undang-undang serta peraturan paling sempurna pun tidak akan berjaya.

“Kerajaan digesa untuk mengembalikan keyakinan rakyat dengan melaksanakan SOP yang jelas berdasarkan sains dan data, memberi mesej yang jelas, konsisten dan terbuka mengenai situasi pandemik dalam negara dan memastikan tidak ada lagi situasi antara dua darjat dalam perlaksanaan SOP serta kawalan pergerakan.” Tegas Syaheredzan dalam satu kenyataan semalam (17 Mei 2021). – Roketkini.com