Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

P. Pinang perlu tulis surat pada Pharmaniaga, tawar beli vaksin secara terus

Oleh Ghafar NS

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berpendapat, Kerajaan Pulau Pinang harus menulis surat kepada Pharmaniaga Bhd. secara rasmi bagi menawarkan untuk membeli vaksin secara terus.

Beliau berkata, ini sementara kerajaan negeri itu menunggu jawapan dan kebenaran dari Kerajaan Persekutuan PN untuk membeli vaksin tersebut dari dalam negara atau pengeluar luar negara.

“Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md. Eusope menyebut bahawa mungkin ada bekalan vaksin yang tersedia untuk dijual pada akhir bulan Jun, setelah dibekalkan kepada Kerajaan Persekutuan. 

“Walau bagaimanapun, kuantiti untuk penjualan akan lebih banyak pada bulan Julai dan Ogos apabila bekalan meningkat.

“Perincian harga pembelian dan penghantaran boleh dibincangkan secara terus antara Pharmaniaga dan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pharmaniaga Bhd. merupakan satu-satunya pemegang pendaftaran produk vaksin CoronaVac Sinovac di Malaysia.

Guan Eng berkata, walaupun Pharmaniaga Bhd. yakin bahawa syarikat itu dapat membekalkan sekitar 8.6 juta dos vaksin Sinovac menjelang akhir bulan Jun, banyak kerajaan negeri masih ingin membeli vaksin tersebut.

Tambahnya, hal ini kerana proses yang lambat dan sukar oleh rakyat negeri mereka untuk mendapatkan janji temu untuk vaksinasi.

Menurut beliau, kenaikan kes harian Covid-19 telah menimbulkan ketakutan di hati rakyat Malaysia yang sangat terdesak mencari vaksin untuk melindungi diri dan orang tersayang.

Jelas Guan Eng, pada mesyuarat zoom semalam, Zulkarnain memberitahu, selain sektor swasta, terdapat banyak negeri yang meminta untuk membeli vaksin tersebut termasuk Sarawak, Selangor, Sabah, Perak, Pahang dan Johor. – Roketkini.com