Oleh B. Suffian
Dunia kini sedang dibelenggu penularan virus Covid-19 dan Malaysia tidak terkecuali. Setakat semalam, jumlah kes keseluruhan virus tersebut di negara ini adalah sebanyak 587,165 manakala jumlah kematian sebanyak 2,993.
Dalam memastikan wabak itu dapat ditangani, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan oleh kerajaan untuk memberi vaksin kepada rakyat Malaysia.
Justeru, dalam usaha menggalakkan orang ramai mendapat suntikan vaksin, beberapa wakil rakyat DAP menjalankan inisiatif proaktif untuk menyediakan pengangkutan percuma bagi warga emas dan golongan memerlukan untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV).
Antaranya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura yang menjalankan program tersebut untuk memudahkan pergerakan penduduk di kawasannya.
“Kawasan Ketari ini luas. Setakat ini PPV ada satu di Bentong, satu lagi di Karak, jadi perjalanan agak jauh,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Post hari ini.
Selain pengangkutan percuma, Young Syefura atau lebih dikenali Rara berkata, bermula Mac lalu pihaknya menyediakan bantuan dari segi pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera, bertujuan melancarkan proses pendaftaran vaksin.
Tambahnya, bantuan pendaftaran vaksin diperluaskan di seluruh kampung di Ketari termasuk perkampungan Orang Asli dan kawasan Felda.
Dalam masa sama, jelas Rara, bantuan beg makanan yang diperkenalkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 masih berjalan seperti biasa selain bantuan bagi komuniti setempat semasa tempoh PKP dilaksanakan.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim pula menjalankan kerjasama dengan persatuan pemandu teksi Bukit Mertajam untuk memberi perkhidmatan percuma bagi warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan wanita mengandung untuk ke PPV.
Beliau berkata, langkah itu disifatkan sebagai serampang dua mata.
“Ini satu usaha kecil saya untuk menggalakkan PICK dan pada masa yang sama membantu para pemandu teksi di Bukit Mertajam.
“Saya ambil inspirasi program ini daripada Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook yang juga membuat benda yang sama di Seremban,” katanya.
Anthony telah melaksanakan inisiatif perkhidmatan teksi percuma kepada warga emas, OKU dan wanita mengandung ke PPV.
Selain itu, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seremban turut menjalankan bantuan makanan asas dan sumbangan alat penyembur sanitasi.
“Jika mereka tiada kenderaan, boleh hubungi kami dan kami akan sediakan khidmat teksi percuma bagi membawa mereka pergi ke lokasi PPV dan kemudian untuk dihantar pulang.
“Ini akan kami laksanakan dan saya akan bekerjasama dengan pemandu-pemandu teksi di Seremban. Kami juga boleh bantu pemandu-pemandu teksi dengan cara ini, sekarang ini pun mereka sukar untuk mendapatkan penumpang, kata Anthony seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Pusat Khimat Rakyat Parlimen Kepong turut menawarkan bantuan menghantar mereka yang mempunyai masalah pergi ke PPV untuk temu janji vaksinasi.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, pihaknya akan menghantar dan menunggu sehingga selesai proses vaksinasi tersebut.
“Dapatkan vaksin supaya diri kita dan orang di sekeliling kita lebih selamat,” katanya.
Pihaknya turut menghantar bantuan makanan kepada mereka yang memerlukan di kawasan tersebut serta menawarkan perkhidmatan sanitasi percuma. – Roketkini.com