Berita, Isu Semasa

Mantan Timbalan Menteri Pendidikan persoal status komputer riba dijanjikan PN

oleh Ghafar NS

Pada 3 Jun 2021, satu laporan yang dimuat naik portal Malaysiakini berkenaan seorang pelajar yang terpaksa berulang-alik 20km ke rumah temannya untuk meminjam komputer riba bagi tujuan pembelajaran, telah mendapat perhatian hebat masyarakat seluruh negara.

Laporan ini telah menyebabkan banyak pihak mempersoalkan kelembapan Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) untuk menunaikan janji mereka dalam Belanjawan 2021, iaitu pemberian 150,000 komputer riba kepada anak-anak pelajar kurang berkemampuan di seluruh negara.

Mantan Timbalan Menteri Pendidikan yang juga merupakan ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dalam satu hantaran status di Facebook-nya semalam dengan tegas bertanya status pemberian 150,000 komputer riba yang dijanjikan pada November 2020 lalu.

“Daripada 150,000 unit komputer riba yang dijanjikan, berapa buah unit telah diserahkan kepada pelajar B40?” Soalnya.

Menurutnya, Menteri Kewangan, Dato’ Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz perlu segera menjawab persoalan ini kerana semakin jelas, anak-anak pelajar khususnya yang kurang berkemampuan semakin menderita dan pasti lebih ramai akan tercicir kerana ketiadaan alat peranti elektronik.

Laporan Malaysiakini pada 3 Jun 2021 telah memuatkan kisah pelajar tingkatan lima, Anis Natasha Junoh yang juga merupakan anak yatim piatu, perlu ke rumah rakan sekelasnya terletak 10km dari rumahnya untuk meminjam komputer riba dan mendapatkan capaian internet.

Ramai yang menyatakan ketidakpuashatian di pelbagai platform media sosial kerana kerajaan PN seolah-olah memejamkan mata, diam membisu berkenaan isu pemberian komputer riba yang telah mereka janjikan. – Roketkini.com