Berita

Wartakan semua klinik kesihatan sebagai PPV

Oleh B. Suffian

DAP mendesak Kerajaan PN untuk bertindak segera dengan mewartakan semua klinik kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai pusat pemberian vaksin (PPV). 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ini adalah untuk memastikan vaksinasi tersedia, mudah diakses dan mampu dimiliki kepada semua rakyat Malaysia terutama di luar bandar. 

“… (Langkah ini) demi mencapai imuniti kelompok 80 peratus penduduk dengan cepat dan lancar menjelang 31 Disember 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Pada masa ini, menurut Guan Eng, hanya terdapat 382 PPV di seluruh negara, dengan 11 di Pulau Pinang dan 29 di Sabah, yang mana jelas tidak mencukupi untuk kedua-dua negeri tersebut.

“Bagaimana 382 PPV dengan berkesan dapat memberikan vaksin kepada 80 peratus daripada 32.75 juta penduduk di negara ini, termasuk bukan warganegara? 

“Atas sebab ini, Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) bergerak dengan kadar perlahan dengan 2.4 juta orang menerima dos pertama atau 7.5 peratus penduduk; 1.13 juta mendapat vaksinasi penuh 2 dos atau 3.5 peratus penduduk,” katanya. 

Tambahnya, PICK telah teruk tergendala akibat kelewatan tempahan bekalan vaksin oleh Kerajaan PN dan juga penundaan penghantaran, yang menyebabkan kadar vaksinasi yang rendah. 

Sekiranya kerajaan terus mengekalkan kadar itu dengan kurang dari 100,000 dos setiap hari, Guan Eng berkata, tidak mungkin Malaysia dapat mencapai imuniti kelompok menjelang 31 Disember 2021. 

“Mengubah klinik kesihatan menjadi PPV juga akan membantu memperluas jangkauan dan akses vaksinasi ke kawasan luar bandar. 

“Banyak yang tinggal di kawasan pedalaman atau luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak menghadapi masalah logistik untuk pergi ke PPV yang terletak jauh dari rumah mereka,” katanya. – Roketkini.com