Berita

Johor kekal sebagai negeri ‘front-line’

Oleh B. Suffian

Johor kekal sebagai negeri ‘front-line’ untuk DAP Kebangsaan.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat semua ahli Jawatankuasa Negeri dan wakil rakyat DAP Johor dengan Setiausaha Agung, Lim Guan Eng secara maya baru-baru ini. 

“Johor adalah negeri ‘front-line’ untuk DAP pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 dan juga menjadi negeri ‘front-line’ kepada Pakatan Harapan pada PRU Ke-14. 

“Dalam pilihan raya 2018 ini, Pakatan Harapan memenangi 18 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor. Di peringkat Dewan Undangan Negeri  (DUN) pula, Pakatan Harapan berjaya menawan 36 kerusi daripada 56 kerusi,” kata Setiausaha Publisiti DAP Johor, Liow Cai Tung. 

Jelas beliau, Guan Eng turut mengarahkan barisan pimpinan dan akar umbi DAP Johor supaya bertungkus lumus membantu lebih ramai Bangsa Johor untuk menjalankan saringan dan menerima vaksin secepat mungkin. 

Cai Tung berkata, DAP Johor telah menubuhkan task force ‘Pasukan Lawan Covid-19 DAP Johor’ yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi, Teo Nie Ching bagi mencari jalan untuk menangani krisis Covid-19. 

Tambahnya, DAP Johor berpendapat bahawa saringan dan vaksinasi secara besar-besaran amat diperlukan supaya dapat memperbaiki keadaan gawat sekarang. Pengumuman berkenaan saringan dan vaksin akan diterajui oleh Nie Ching.

“Mesyuarat ini juga menyatakan sokongan padu kepada keputusan Jawatankuasa Pusat (CEC) DAP pada 29 Mac 2021 untuk menggunakan lambang Pakatan Harapan dalam PRU yang akan datang,” katanya. – Roketkini.com