Berita

Darurat perlu ditamatkan, Parlimen perlu dibuka – PH

Oleh B. Suffian

Sebagai sebuah parti yang menjunjung prinsip demokrasi berparlimen, Pakatan Harapan (PH) menolak cadangan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mewujudkan sebuah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). 

Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan berkata, ini berdasarkan pendirian konsisten PH bahawa Darurat perlu ditamatkan segera dan Parlimen perlu dibuka semula sekarang.

“Penyelesaian kepada masalah rakyat dalam isu Covid-19, ekonomi, malah juga politik memerlukan demokrasi yang berfungsi dengan baik.

“Dan ruang terbaik untuk mendengar suara rakyat serta mencari penyelesaian ialah di Parlimen,” kata kenyataan itu hari ini. 

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu. 

Semalam, Dr. Mahathir dilaporkan mencadangkan penubuhan sebuah badan seperti MAGERAN ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, cadangan itu dikemukakan atas keyakinan ia mampu menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara, kesan penularan pandemik Covid-19. – Roketkini.com