Oleh Lim Kit Siang
(Ahli Parlimen Iskandar Puteri merangkap Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP)
Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu yang akan diadakan pada 16 Jun bagi membincangkan keadaan semasa wabak Covid-19 yang dianjur oleh Yang di-Pertuan Agong wajar mendapat sokongan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama atau politik, kerana keadaan Covid-19 yang semakin buruk di Malaysia semestinya memerlukan keprihatinan kita semua, termasuk Raja-Raja Melayu.
Pada tahun pertama wabak Covid-19 mengganas, kita semua bersetuju bahawa negara-negara terburuk dalam menangani wabak Covid-19 adalah Amerika Syarikat, United Kingdom, Itali, Perancis, Sepanyol, Brazil dan Mexico.
Tetapi jika rakyat Malaysia ditanya selepas lima bulan darurat diisytiharkan pada 11 Januari 2021 untuk memerangi wabak Covid-19 tentang negara manakah yang mempunyai prestasi terburuk dalam menangani wabak Covid-19, mereka akan memikirkan Malaysia dan India.
Amerika Syarikat, United Kingdom, Itali, Perancis dan Sepanyol kini menunjukkan tanda-tanda akan pulih daripada gelombang wabak berkenaan.
Amerika Syarikat, negara yang paling teruk dilanda Covid-19 pada 2020, dengan jumlah kumulatif sebanyak 34.25 juta kes, yang menyaksikan peningkatan harian tertinggi sebanyak 305,044 kes pada 8 Januari 2021 dan puncak peningkatan kes kematian harian sebanyak 4,464 pada 12 Januari, telah menurun sebanyak 95.5% kepada 13,742 kes dan sebanyak 91.2% kepada 392 kematian pada 8 Jun 2021.
United Kingdom juga mengalami penurunan mendadak dalam peningkatan kes dan kematian baru setiap hari — menurun 91% dari kenaikan harian tertinggi 67,839 kes pada 8 Januari 2021 kepada 6,049 kes baru pada 8 Jun 2021 dan menurun sebanyak 99.3% dari puncak peningkatan harian sebanyak 1,823 kematian pada 20 Januari kepada 13 kematian pada 8 Jun 2021.
Itali, Perancis dan Sepanyol juga menyaksikan penurunan mendadak sekitar 90% dalam peningkatan kes baharu harian Covid-19 dan kematian akibat virus itu.
Malah India menyaksikan penurunan mendadak dalam kes dan kematian harian – jatuh dari puncak peningkatan kes harian sebanyak 414,433 kes pada 6 Mei kepada 87,345 kes pada 8 Jun (penurunan mendadak 79%) dan puncak peningkatan kes kematian harian sebanyak 4,525 pada 18 Mei kepada 2,213 kes kematian pada 8 Jun (penurunan ketara sebanyak 51.1%).
Malaysia bagaimanapun mencatatkan lonjakan kes, menetapkan rekod baru untuk peningkatan kes baharu harian Covid-19 (9,020 kes pada 29 Mei) dan peningkatan kes kematian baharu harian Covid-19 (126 kematian pada 2 Jun) – dengan amaran bahawa Malaysia diramal bakal mnecapai 13,000 kes setiap hari pada pertengahan Jun dan jumlah kematian 26,000 menjelang September.
Pemimpin paling buruk dalam menangani wabak Covid-19 tahun lalu adalah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Presiden Brazil Jair Bolsonaro dan Presiden Mexico Andres Manuel Lopex Obrador.
Tahun ini, Donald Trump sudah terkeluar dari senarai itu, dan digantikan dengan Perdana Menteri India Narendra Modi dan Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin.
Dua petunjuk mengapa Malaysia adalah negara terburuk di Asia:
– Malaysia berada di kedudukan ke-85 pada 18 November 2020 antara negara-negara dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi, namun kedudukan itu merosot tujuh bulan kemudian, negara kita kini berada di kedudukan ke-39 – naik 46 tangga. Malaysia dijangka akan berada di kedudukan ke-38 dalam tempoh seminggu untuk mengatasi Austria.
– Malaysia adalah antara sepuluh negara teratas dengan jumlah kes per sejuta penduduk tertinggi selama dua minggu dari 24 Mei hingga 6 Jun. Sepuluh negara teratas adalah:
1. Bahrain 2,307.1
2. Uruguay 1,580.8
3. Colombia 725.7
4. Suriname 627.3
5. Chile 558.2
6. Kuwait 458.6
7. Mongolia 440.8
8. Malaysia 354.3
9. Oman 316.2
10. Namibia 244.9
Setiap rakyat Malaysia yang setia dan patriotik harus prihatin dengan keadaan Covid-19 yang semakin buruk di Malaysia, ketika banyak negara yang sebelum ini teruk dilanda wabak itu kini menunjukkan tanda-tanda pulih.
Kita telah kehilangan 3,536 nyawa akibat Covid-19 – berapa banyak daripadanya adalah kematian yang dapat dielakkan sekiranya kita dapat menangani wabak Covid-19 dengan lebih baik?
Inilah sebabnya mengapa mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu yang akan diadakan bagi membincangkan situasi wabak Covid-19 di negara ini adalah suatu tindakan terpuji dan harus disokong oleh semua rakyat Malaysia. — Roketkini.com