Kenyataan media Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng bertarikh 15 Jun 2021:
Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkenaan pemberian vaksin kepada golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) akan diberikan setelah mereka menyerah diri hanya memundurkan usaha-usaha pihak berwajib dalam mencapai imuniti kelompok.
Hamzah malah menegaskan, bukan semua warga asing akan diberi peluang menerima imunisasi itu terutama yang datang secara haram.
Adakah beliau lupa, kali terakhir kenyataan seperti ini keluar, kebanyakan dari mereka mencuba sedaya upaya mereka untuk lari dari pihak berkuasa. Apabila ada daripada mereka dijangkiti COVID-19 pula, petugas barisan hadapan menghadapi kesukaran yang hebat untuk mencari dan merawat mereka kerana mereka tidak mahu bertemu dengan sesiapa.
Saya percaya pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Vaksin sedang mencuba sedaya upaya untuk memastikan rakyat Malaysia untuk mengambil vaksin. Kenyataan Hamzah yang seolah-olah berunsur xenofobik ini akan hanya mengeruhkan lagi keadaan COVID-19 di Malaysia.
Perlu kita fahami bahawa terdapat lebih kurang dua juta pekerja asing yang berdaftar dengan pihak berwajib di Malaysia, dan dianggarkan terdapat 4 juta yang tidak berdaftar. Kebanyakan dari mereka juga berada di kawasan-kawasan berkepadatan tinggi seperti Kuala Lumpur dan Selangor. Apa yang lebih merisaukan adalah dua kawasan ini adalah antara kawasan yang sentiasa tinggi bilangan kes positif COVID-19. Justeru, sekiranya kita mahu mencapai sasaran imuniti kelompok, fokus kita adalah untuk mevaksinkan mereka, bukan menafikan!
Jikalau Menteri Dalam Negeri benar-benar ingin mendepani masalah kedatangan PATI, perkara yang perlu diutamakan adalah menangkap ketua-ketua kartel yang membawa mereka masuk, mengetatkan lagi sempadan negara serta membersihkan agensi penguatkuasa dari pegawai-pegawai yang mengambil rasuah dan melibatkan diri mereka dengan urusan kemasukan warga asing ke negara ini.
Sekiranya kita boleh bersimpati dengan saudara-mara kita yang ditindas di Palestin, kita perlu juga menunjukkan belas kasihan kepada pekerja asing di sini. Sudah tiba masanya untuk kita berhenti menjadi xenofobik dalam pengendalian warga asing dan mengendalikan mereka melalui undang-undang yang adil dan telus!