Berita

Demokrasi berparlimen: Jalan keluar untuk krisis negara kita

Oleh B. Suffian

Pemimpin politik yang bertanggungjawab perlu bekerjasama dan bertolak ansur untuk memulihkan demokrasi serta mengelakkan sebarang bentuk pemerintahan autokratik.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong berkata, formula asasnya adalah untuk mencari penyelesaian yang dapat diterima oleh semua untuk:

*  Menamatkan pemerintahan darurat ala Tan Sri Muhyiddin Yassin
* Menolak cadangan Mageran Tun Dr. Mahathir Mohamad
* Memastikan pilihan raya umum tidak diadakan selagi Covid-19 masih parah manakala ekonomi memerlukan masa untuk pulih

“Kita mesti mematahkan kebuntuan, dan membentuk kerajaan demokratik yang baharu untuk menggantikan kerajaan sedia ada sehingga pilihan raya seterusnya yang bakal diadakan pada 2023,” katanya semalam.

Chin Tong yang juga Ahli Dewan Negara menambah, kerajaan baharu itu mesti mempunyai majoriti sekurang-kurangnya 120 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen.

Untuk mendapat sokongan penuh rakyat, beliau menjelaskan, kerajaan demokratik baharu seharusnya mempunyai ciri-ciri asas, prinsip dan nilai berikut:

* Demokrasi dan perkongsian saksama perlu menjadi teras kerajaan baharu kerana era parti ‘abang besar’ dalam gabungan politik sudah berakhir.

* Amalan Perdana Menteri ala ‘Presiden’ tidak sepatutnya diteruskan lagi.

* Kabinet mesti berfungsi sebagai satu pasukan untuk menyelesaikan secara bersama-sama dan tidak dikekang oleh pertindihan kuasa atau ego menteri atau kementerian.

*  Parlimen sebagai platform membina kesepakatan nasional bersama.

* Setelah terbentuknya kerajaan baharu, satu undang-undang seperti Akta Parlimen Penggal Tetap (FTPA) 2011 di United Kingdom  yang menetapkan tarikh pembubaran Parlimen dan pilihan raya boleh digubal.

Sementara itu, Chin Tong berkata, setelah struktur kerajaan demokratik disepakati dan dilaksanakan, pemerintahan baharu negara ini seharusnya menggunakan tema ‘memulihkan negara’ daripada Covid-19 dan masalah ekonomi yang berlaku akibat pandemik itu.

Beliau menggariskan lima agenda utama untuk memulihkan negara:

1. Terima hakikat sains dan hentikan amalan diskriminasi antara dua darjat

2. Bangsa Malaysia. Kita semua perlu bersatu atas pegangan bahawa kita berkongsi takdir yang sama dan menolak idea perkauman yang memecahbelahkan masyarakat.

3. Ekonomi untuk semua. Kerajaan perlu memainkan peranan yang lebih menyeluruh dalam menangani krisis ekonomi ketika kebanyakan perniagaan terpaksa tutup dan pekerja hilang sumber pendapatan

4. Negara yang selamat. Sektor pertahanan dan keselamatan negara memerlukan reformasi menyeluruh untuk memastikan kedaulatan negara dilindungi manakala keselamatan awam terjamin.

5. Malaysia tanpa kleptokrat dan rasuah. Kerajaan baharu mesti menghapuskan rasuah dalam semua perbelanjaannya. – Roketkini.com

Baca kenyataan penuh Chin Tong: https://www.facebook.com/100044163409626/posts/343496373799140/?d=n