Kenyataan Akhbar

Jawatankuasa Bebas Darurat belum muktamadkan keputusan

Kenyataan Media Bersama Ahli-Ahli Jawatankuasa Bebas Darurat pada 16 Jun 2021

Sejak dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat pada awal tahun 2021 dengan fungsi khas menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengenai pelanjutan atau penamatan darurat, kami selaku ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini telah menyampaikan pandangan-pandangan kami kepada jawatankuasa ini.

Pandangan-pandangan ini menyentuh pelbagai perkara darihal pandemik COVID-19, vaksinasi, kematian harian, kemudahan hospital, keadaan ekonomi negara dan kesan kepada kehidupan rakyat.

Kami juga menyampaikan pendirian bahawa pendekatan ‘Government Intervention’ dalam bentuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Darurat adalah dua perkara yang berbeza dalam menangani pandemik COVID-19.

Pendirian kami ialah tiada keperluan untuk Darurat dilaksanakan, sebaliknya pelaksanaan PKP yang lebih ketat adalah kaedah terbaik. Kami juga berpendirian bahawa persidangan Parlimen harus segera diadakan sebagai mekanisma semak dan imbang sesuai dengan prinsip demokrasi berparlimen di negara kita.

Setakat hari ini, jawatankuasa ini masih belum lagi memuktamadkan sebarang keputusan mengenai tempoh melanjutkan atau menamatkan darurat untuk dipersembahkan kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

YB DS Saifuddin Nasution, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu

YB DS Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor

YB Loke Siew Fook

Ahli Parlimen Seremban