Berita

PKP: Kongres Parti DAP ditangguhkan

Oleh B. Suffian

Kongres Parti DAP yang sebelum ini ditetapkan pada Ahad ini, ditangguhkan. 

Perkara itu disahkan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook. 

Sehubungan itu, beliau berkata, tarikh baharu Kongres Parti DAP hanya boleh ditentukan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan oleh kerajaan.

“Ibu Pejabat Kebangsaan DAP telah menerima surat balas daripada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM), Jasri Kassim yang bertarikh 11 Jun 2021 terhadap rayuan untuk menangguhkan Kongres Parti DAP,” kata Anthony dalam satu kenyataan. 

Dalam surat tersebut, tambah Anthony, JPPM memutuskan bahawa pelaksanaan mesyuarat agung tahunan (MAT) bagi semua pertubuhan berdaftar termasuk parti politik hendaklah ditangguhkan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP 3.0. 

“JPPM juga menghendaki pihak kami untuk mengemukakan cadangan tarikh pelaksanaan Kongres Parti DAP yang baru dan prosedur operasi standard (SOP) tambahan sebaik sahaja tempoh PKP berakhir,” katanya. – Roketkini.com