Berita, Kenyataan Akhbar

Bayaran BPR dan peruntukan RM300 ribu perlu disegerakan – Teresa Kok

Oleh Ghafar NS

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempercepatkan bayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) kepada golongan miskin serta peruntukan Program Bakul Makanan bernilai RM300 ribu kepada ahli Parlimen disegerakan.

Menurutnya, sejak pengumuman Pakej Pelindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dibuat, pusat khidmat Parlimen Seputeh dan juga beberapa Parlimen lain menerima banyak panggilan oleh penduduk yang mahu membuat permohonan BPR serta meminta bantuan makanan.

“Tetapi kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana permohonan BPR belum dibuka, malah peruntukan RM300 ribu yang dijanjikan Kerajaan PN menerusi PEMULIH masih belum disalurkan kepada akaun pusat khidmat Ahli Parlimen,” kata Teresa dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau lagi, disebabkan pemanjangan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini menyebabkan banyak syarikat dan penjaja kecil yang tidak dapat beroperasi, hilang sumber pendapatan sehingga terputus bekalan makanan.

“Saya meminta kerajaan percepatkan pemberian peruntukan yang dijanjikan, kerana tahap kemiskinan rakyat khususnya golongan B40 telah sampai ke tahap kritikal.

“Walaupun sebelum ini kerajaan mengambil masa lebih kurang satu bulan untuk memproses permohonan dan menyalurkan peruntukan BPR, kini kerajaan perlu mengambil pendekatan kecemasan dan bertindak pantas sebagai langkah menyelamatkan nyawa golongan miskin daripada kelaparan.” Katanya. – Roketkini.com.