Berita

‘Sesiapa dalam Kabinet PN masih bekerja? Rakyat sedang menderita’

Oleh B. Suffian

Wakil-wakil rakyat DAP terus mengangkat agenda nasib rakyat terutama yang terkesan dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD). 

Ketika ada pihak dilihat sibuk berpolitik ketika pandemik, DAP menerusi wakil-wakil rakyatnya tekun memperjuangkan rakyat di kawasan-kawasan masing-masing. 

Fokus utama wakil-wakil rakyat DAP adalah untung nasib rakyat. 

Bagi Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, beliau lebih menitikberatkan tentang pelaksanaan PKPD di Senai, Johor. 

Jelasnya, hanya 13 kes baharu di Senai semalam dan tiada sebarang pengumuman tentang penemuan kluster baharu di kawasan tersebut. 

Justeru beliau melontarkan persoalan kenapa PKPD dilaksanakan secara tiba-tiba di kawasan industri di Senai. 

“Sesiapa dalam Kabinet PN masih bekerja hari ini? Rakyat sedang menderita di luar sana,” soalnya di Facebook hari ini. 

Dalam pada itu Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, ketika ini ramai rakyat yang terputus bekalan makanan. 

“(Rakyat) Tiada wang bayar sewa dan dihalau. Tiada susu untuk anak kecil. 

“Tapi tidak apa. Teruskanlah permainan politik.

“Nanti jangan salahkan DAP. Kita sedang sibuk buat kerja membantu masyarakat,” katanya. – Roketkini.com