Berita

PPN akan sia-sia jika moratorium tanpa faedah tidak diberikan

Oleh Roketkini

Kerajaan PN digesa bertindak berani dan mengarahkan Bank Negara untuk meminta industri perbankan mengecualikan faedah semasa moratorium pinjaman bank.

Jika tidak, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, mana-mana Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang menawarkan bantuan kewangan, tidak akan bermakna dan sia-sia.

“Masanya sudah tiba bagi Kerajaan PN bertindak berani dan mengarahkan Bank Negara untuk mengarahkan industri perbankan mengecualikan faedah semasa moratorium pinjaman bank kecuali kumpulan 20 yang teratas. 

“Jika tidak, mana-mana PPN yang menawarkan bantuan kewangan, tidak akan bermakna dan sia-sia, yang bertujuan hanya untuk melindungi keuntungan bank dengan mengorbankan 8 juta individu dan syarikat Malaysia yang mengharapkan bantuan daripada moratorium pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Guan Eng yang juga mantan Menteri Kewangan memberitahu, pelantikan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri penyelaras PPN hanya akan berkesan untuk mengeluarkan ekonomi dari kemelesetan ekonomi dan mengurangkan masalah kewangan pekerja dan perniagaan yang mengalami pengurangan pendapatan, jika moratorium pinjaman bank adalah tanpa faedah.

Menurut Guan Eng, tidak ada gunanya kerajaan memberikan moratorium pinjaman bank selama enam bulan jika peminjam masih perlu membayar faedah terakru yang lebih tinggi kepada bank.

Tambahnya, kos pinjaman keseluruhan yang lebih tinggi bagi mereka yang memilih moratorium pinjaman bank telah dinyatakan dengan jelas oleh Bank Negara. 

Ujarnya, Bank Negara memberi amaran kepada peminjam bahawa walaupun bank tidak akan mengenakan faedah terkompaun atau faedah penalti semasa pembayaran ditangguhkan, faedah masih akan terakru terhadap penangguhan pembayaran.

“Dengan kata lain, faedah akan dikenakan ke atas pinjaman pokok selama enam bulan moratorium pinjaman. 

“Bagaimana ini dapat membantu peminjam yang menghadapi pengurangan pendapatan jika bank yang tidak perlu menanggung sedikit potongan keuntungan atau menyumbang tanggungjawab sosial korporat dalam berkongsi masalah kewangan yang dihadapi oleh peminjam?” soalnya. – Roketkini.com