Berita, Kenyataan Akhbar

Mana 8,000 peranti pelajar yang dijanji Kerajaan Negeri Johor?

Oleh Ghafar NS

Setelah setahun sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dilaksanakan di Malaysia, masih terdapat pelajar-pelajar yang tidak mampu mengikuti PdP dalam talian kerana ketiadaan alat peranti elektronik yang sesuai.

Menurut ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, beliau sebagai seorang ibu amat memahami keresahan ibu-ibu yang kesempitan tetapi tetap mahu memastikan anak-anak dapat mengikuti sesi pembelajaran di rumah.

Beliau menerusi pusat khidmat Parlimen Kulai telahpun menghadiahkan sekitar 65 buah alat peranti elektronik kepada keluarga-keluarga B40 di kawasannya.

“Namun, isu lebih penting di sini adalah, di mana 150,000 komputer riba yang telah dijanji oleh Menteri Kewangan pada bulan November yang lalu?

“Mengapa penyerahan 150,000 buah komputer riba ini masih belum diselesaikan?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, beliau turut bertanya di mana 8,000 alat peranti yang dijanjikan Kerajaan Negeri Johor pada 10 Jun 2021 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0?

“Kini, setelah sebulan pengumuman itu dibuat, berapa buah peranti telah diserahkan kepada anak-anak pelajar dan kepada siapa?” Tambahnya lagi.

Nie Ching yang juga merupakan mantan Timbalan Pendidikan berharap Kerajaan Negeri Johor tidak mengulangi kesilapan Kerajaan Persekutuan yang kurang efisien dalam penyerahan komputer riba setelah berjanji kepada rakyat. – Roketkini.com