Berita

‘Ini sesi Taklimat Khas, bukan sidang Parlimen’

Oleh Roketkini

Sidang Parlimen lima hari bermula 26 Julai dikatakan bukan sidang Parlimen sebenar sebaliknya hanya satu sesi taklimat khas dengan penerangan menteri berhubung wabak Covid-19

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, Malaysia memberikan contoh kepada dunia sebuah Parlimen yang dilemahkan dan dilumpuhkan.

“Pertama, tidak akan ada Waktu Pertanyaan Menteri, yang menurut Perintah Tetap Dewan Rakyat 22 (2) menghendaki  Ahli Parlimen memberikan notis sekurang-kurangnya 10 hari bekerja – dan tidak ada 10 hari bekerja sebelum sidang pada 26 Julai.

“Kedua, usul Pembangkang tidak akan dibenarkan.

“Proklamasi dan Ordinan Darurat akan dibentangkan di Parlimen tetapi tidak ada undian mengenai Proklamasi dan Ordinan Darurat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurut notis Parlimen semalam, jelas Kit Sing, agenda tersebut hanya melibatkan siri penerangan menteri mengenai Pelan Pemulihan Negara, Program Vaksinasi, Pelaksanaan Darurat dan Pakej Bantuan Ekonomi.

Menurutnya, notis itu menyatakan bahawa Speaker akan membenarkan Ahli Parlimen meminta penjelasan dan memberi pandangan semasa sesi penerangan Menteri. 

“Tetapi adakah Ahli Parlimen dibenarkan untuk berbahas dan mengundi penerangan Menteri masing-masing?

“Sekiranya Ahli Parlimen dapat bersidang untuk bermesyuarat, mengapa Parlimen tidak dapat mengadakan sidang Parlimen biasa sesuai dengan amalan parlimen seperti biasa dan Perintah Tetap Dewan Rakyat yang diamalkan sejak enam dekad lalu?” soalnya. 

Tambahnya, notis parlimen itu sebenarnya melanggar Perintah Tetap Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin berkata, ini kali pertama dalam sejarah sidang Parlimen diadakan seperti demikian. 

Beliau turut mengongsikan gambar notis sidang Parlimen berkenaan. 

“Ini adalah agenda bagi sidang Parlimen akan datang. Ops, saya patut penggilnya taklimat oleh menteri di Parlimen. 

“Tiada perbahasan, tiada undian,” katanya. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh berkata, buat pertama kali beliau menyaksikan satu-satunya urusan dewan adalah penerangan menteri-menteri. 

“Apa penerangan yang dimaksudkan, sama ada ahli-ahli Parlimen dibenarkan berbahas atau mengundi?

“Kenapa tiada usul untuk bahas dan meluluskan perbelanjaan semasa darurat, keberkesanan dasar kerajaan dalam melawan pandemik Covid-19 dan seterusnya?” soalnya. – Roketkini.com