Berita

Perluas ‘Operasi Lonjakan Kapasiti’ kepada Negeri Sembilan

Oleh B. Suffian

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin  diseru supaya memperluaskan ‘Operasi Lonjakan Kapasiti’ untuk merangkumi Negeri Sembilan dalam operasi tersebut. 

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini memandangkan Negeri Sembilan merupakan antara tiga negeri teratas yang mencatatkan kes positif tertinggi dengan Selangor dan Kuala Lumpur.

“Untuk lima hari berturut-turut, kes positif Covid-19 di Negeri Sembilan mencecah angka melebihi 1,000 kes setiap hari iaitu pada 13 Julai dengan 1,033 kes, 14 Julai (1,537 kes), 15 Julai (1,603 kes), 16 Julai (1,619 kes) dan 17 Julai (1,280 kes). 

“Keadaan ini amat membimbangkan rakyat di Negeri Sembilan dan langkah yang lebih agresif perlu diambil oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk mengawal keadaan daripada menjadi lebih teruk,” katanya dalam satu kenyataan. 

Khairy sebelum ini mengumumkan pelaksanaan ‘Operasi Lonjakan Kapasiti’ (Operation Surge Capacity) untuk memastikan semua warga dewasa yang telah mendaftar dengan MySejahtera di Kuala Lumpur dan Selangor divaksinasi untuk dos pertama sebelum 1 Ogos 2021.

Sebagai Ahli Parlimen Rembau yang merupakan kawasan dalam Negeri Sembilan, Anthony yakin Khairy juga amat memahami keadaan di Negeri Sembilan dan merasai kebimbangan rakyat diwakilinya.

Menurutnya, pendekatan kerjasama erat di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kadar vaksinasi seperti yang dilihat di Selangor patut dilaksanakan juga di Negeri Sembilan. 

“Saya yakin Kerajaan Negeri Sembilan akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya dalam usaha tersebut,” katanya. 

Pada masa yang sama, Anthony yang juga Setiausaha Organisasi DAP menyeru Khairy untuk membenarkan semua warga emas yang berumur 60 tahun ke atas di Negeri Sembilan untuk mendapat suntikan vaksin secara ‘walk in’ seperti yang telah dilaksanakan di Lembah Klang sejak semalam.

Beliau berkata, strategi untuk melaksanakan operasi bersepadu di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan secara serentak ini diyakini mampu mengawal keadaan dalam masa beberapa minggu. 

“Dan ia secara langsung akan membantu keadaan di seluruh negara memandangkan tiga negeri ini menyumbang hampir 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kes kebelakangan ini,” katanya. – Roketkini.com