Kenyataan Akhbar

Kurangkan bergantung kepada PPV Mega

Oleh Muhammad Shakir Ameer 

(Naib Ketua DAPSY Kebangsaan)

Minggu lalu pusat pemberian vaksin (PPV) Mega Ideal Convention Centre (IDCCdi Shah Alam telah menjadi kluster yang dinamakan kluster Jalan Pahat 15 di mana sebilangan besar sukarelawan dan pekerja dijangkiti Covid-19.


Walaupun PPV Mega boleh mempercepatkan program vaksinasi negara kerana berskala besar, tetapi risiko di mana sekiranya satu individu dijangkiti Covid-19 boleh mencetuskan sebuah kluster besar daripada PPV tersebut.


Berita terbaru dilaporkan bahawa terdapat beberapa kes Covid-19 berkenaan staff di PPV Mega di Shah Alam iaitu Setia City Convention Centre (SCCC). 

Codeblue melaporkan bahawa beberapa sukarelawan PPV SCCC tidak dimaklumkan oleh pengurusan berkenaan kes-kes jangkitan tetapi mendapat tahu melalui ‘group WhatsApp’. (https://codeblue.galencentre.org/2021/07/18/volunteers-claim-selangor-ppv-hid-covid-19-cases-no-mass-testing-or-sop/).


Ini adalah sesuatu yang amat serius dan harus dijawab oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin secepat mungkin. 


Ada juga kes di mana beberapa individu yang duduk di negeri atau daerah yang jauh daripada PPV. Seperti contoh saya telah mendapat berita bahawa individu daripada Sepang disuruh mendapat vaksin di Sabak Bernam atau penduduk dari Kuang disuruh pergi ke SCCC untuk divaksin. 


Bayangkan jika ada jangkitan di PPV Mega tersebut, kebarangkalian untuk menjangkiti orang lain dari daerah lain adalah tinggi. Implikasinya akan menjadi lebih teruk.


Jika PICK terlalu bergantung kepada PPV Mega, ini juga akan membebankan penduduk yang duduk jauh daripada PPV tersebut.


Sebagai contoh, kos bagi individu yang duduk di Bukit Subang seksyen U16 Shah Alam menggunakan perkhidmatan Grab untuk ke PPV  SCCC adalah sebanyak RM 55 pergi balik. Kos ini amat membebankan dan tidak munasabah untuk golongan B40. 


Walaupun kerajaan negeri Selangor bertungkus-lumus untuk meringankan beban rakyat dengan menawarkan rebat sebanyak RM 20 melalui Pakej Kita Selangor, namun bagi kebanyakan dari golongan B40, tambang e-hailing sebanyak RM 25 dan ke atas juga dikira sebagai sesuatu bebanan yang tinggi. 


Oleh yang demikian, saya ingin mencadangkan kepada PICK untuk mempertimbangkan penggunaan Dewan orang ramai mengikut lokaliti untuk meringankan beban penduduk terutamanya di kawasan B40.


Cadangan ini juga boleh mengurangkan risiko jangkitan yang berskala besar seperti yang kita lihat di IDCC sekali gus memudahkan pengurusan orang ramai di PPV tersebut. 


Seperti contoh di Bandaraya Shah Alam, pembahagian PPV berskala sederhana atau kecil boleh dibuka di Dewan orang ramai untuk tempoh terhad bagi memberikan vaksin mengikut lokaliti seksyen atau zon mengikut nasihat pihak berkuasa tempatan MBSA.


Dengan bilangan kes lima digit serta penularan varian Delta adalah penting untuk memastikan keselamatan sukarelawan dan pekerja PPV supaya penerima vaksin juga selamat.


Ketelusan juga harus diambil kira terutamanya jika ada ‘khabar angin’ berkenaan jangkitan mana-mana PPV. Pencerahan kepada orang ramai harus disampaikan secepat mungkin sebelum situasi menjadi lebih rumit bagi semua pihak.


Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan program vaksinasi peringkat kebangsaan dan negeri berjaya tanpa mengira latar belakang politik. – Roketkini.com