Berita

‘Kami sedia berbahas, tapi lihat apa berlaku’

Oleh Roketkini

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo meluahkan rasa kesalnya terhadap apa yang berlaku pada sidang Parlimen hari ini.

Beliau berkata, sidang hari ini adalah cukup penting kerana ia melibatkan pembentangan oleh Menteri Kewangan.

Menurutnya, rakyat di luar sana mahu mengetahui jawapan kerajaan bagi masalah sedia ada iaitu pandemik Covid-19.

“Jadi apabila kita lihat telatah Speaker seperti ini seolah-olah tidak menunjukkan sebarang pentingnya jawapan daripada kerajaan untuk kita tangani masalah ini.

“Apa yang penting kita semua sebagai ahli Parlimen pembangkang, kita berada dalam dewan, kita bersedia berbahas dan berhujah tetapi kita lihat apa berlaku pada hari ini,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Gobind berkata, beliau berharap Parlimen akan terus berlangsung pada hari Isnin.

“Ini adalah suatu perkara yang sangat penting kepada rakyat dan masyarakat umum. Dan saya harap bahawa persidangan Parlimen akan diteruskan pada hari Isnin,” katanya.

Media melaporkan, Dewan Rakyat ditangguhkan untuk kali kelima hari ini selepas Timbalan Speaker, Datuk Rashid Hasnon membuat pengumuman pada pukul 5.15 petang tadi.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila persidangan akan bersambung walaupun rancangan asalnya ia akan berakhir pada Isnin. – Roketkini.com