Berita

Laporan polis terhadap artikel Abdul Hadi

Oleh Roketkini

Sekumpulan mantan pegawai-pegawai menteri dan timbalan menteri Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap sebuah artikel tulisan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 

Laporan polis terhadap artikel bertajuk ‘Politiking untuk menyingkirkan Islam’ yang telah diterbitkan di laman sesawang harakahdaily.net semalam itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada pagi ini. 

Jurucakap kumpulan tersebut, Nor Miswary Ramli berkata, pihaknya berpandangan artikel tersebut boleh menghasut dan menyebarkan kebencian dan berunsur fitnah terhadap Kerajaan PH.

“Artikel ini berniat hendak menyebabkan, atau yang mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam atau kepada mana-mana golongan awam supaya oleh yang demikian itu seseorang mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap negara atau terhadap ketenteraman awam; 

“…dan berniat mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain. 

“Ini merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan,” katanya. 

Menurut beliau, ia juga suatu rencana yang palsu atau mengancam dengan niat untuk menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain dan merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia. 

Sebagai presiden sebuah parti politik di Malaysia, tambahnya, artikel tersebut mampu mempengaruhi ahli, penyokong parti dan para pengikutnya serta boleh mencetuskan ketidakharmonian agama di dalam negara, menimbulkan kebencian tidak berasas dan tidak rasional di kalangan rakyat. 

“…serta membahayakan pengundi dan para penyokong PH walaupun Kerajaan PH merupakan gabungan parti politik yang telah memenangi dan mendapat undi popular dalam Pilhan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu,” katanya. – Roketkini.com