Kenyataan Akhbar

DAP kecam penangguhan Parlimen

Oleh Lim Guan Eng

(Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan)

DAP mengecam penangguhan Parlimen yang melanggar perlembagaan sebagai usaha terdesak oleh Perdana Menteri Mahiaddin Md Yassin untuk mengelak akauntabiliti dan ketelusan penuh terhadap kegagalannya menangani pandemik Covid-19, krisis ekonomi dan konfrontasi dengan Yang di-Pertuan Agong dengan taktik mengelirukan dan manipulatif demi terus memegang kuasa berikutan kehilangan majoriti Parlimennya.

Ketika rakyat Malaysia menandakan berakhirnya Darurat, kita mengira kos besar percubaan yang gagal untuk menyembunyikan usaha merampas kuasa oleh PN dan Perdana Menteri Mahiaddin Md Yassin, dengan alasan untuk mengawal lonjakan jangkitan dan kematian Covid-19 yang menakutkan. Pada hari Darurat diisytiharkan pada 12 Januari, terdapat 3,309 kes dan 4 kematian dengan jumlah kumulatif 141,533 kes dan 559 kematian. 

Sejak itu, jumlah kes kumulatif meningkat lapan kali ganda dan jumlah kematian kumulatif meningkat dengan mengejutkan sebanyak 16 kali ganda dalam tempoh singkat enam bulan setengah. Pada 31 Julai, kes harian meningkat ke rekod tertinggi 17,785 dan 165 kematian, dengan kes kumulatif 1,113,272 dan angka kematian 9,004. Jelas bahawa tempoh Darurat menyebabkan kes-kes melonjak dan tidak memberi kesan untuk mengurangkan jumlah jangkitan dan kematian COVID-19.

Namun begitu, Kerajaan Persekutuan terus menyalahkan rakyat kerana tidak mematuhi SOP Covid-19, sedangkan Menteri sendiri adalah penyebab utama;  dasar yang berubah-ubah dan pusingan-U SOP yang lebih memihak kepada syarikat besar untuk beroperasi berbanding perniagaan kecil, terutamanya Perusahaan Kecil Sederhana; keengganan mengambil tanggungjawab ke atas kelewatan dalam perolehan dan penghantaran vaksin yang dapat mengelakkan beribu kematian;  amalan dua darjat dalam pengeluaran surat kelulusan untuk perniagaan beroperasi daripada Kementerian dan membiarkan politik kepartian mengatasi kepakaran profesional dalam pengurusan jangkitan Covid-19.

Penggunaan tipu daya seperti ini telah menjadi sebahagian daripada Kerajaan PN sehingga mereka bahkan telah menipu Yang di-Pertuan Agong dan membelakangkan kuasa Baginda terhadap pembatalan Ordinan Darurat. Yang di-Pertuan Agong begitu dukacita sehingga satu titah teguran yang keras disampaikan secara terbuka terhadap Menteri, Peguam Negara dan kerajaan untuk pertama kalinya dalam sejarah. Tidak ada tanda penyesalan oleh Kerajaan PN apabila tidak ada permintaan maaf, apatah lagi kesediaan untuk meletakkan jawatan atas tindakan derhaka kepada Agong.

Walaupun Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar Parlimen memutuskan dan membahaskan pembatalan Ordinan Darurat, mesyuarat Parlimen pada hari Isnin esok telah ditangguhkan dan Parlimen telah ditutup oleh Perdana Menteri dan Timbalan Speaker Datuk Mohamad Rashid Hasnon dengan alasan Covid-19. Speaker Azhar Harus dengan jelas berlakon dengan menipu blok Ahli Parlimen ketika dia memberitahu perwakilan yang diketuai oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim pada Khamis lalu bahawa dia mahu Parlimen terus bersidang pada hari Isnin.

Adalah tidak masuk akal bagi Perdana Menteri untuk menutup Parlimen hanya kerana 11 kes Covid-19 daripada 1,183 ujian saringan atau kadar positif 0.9%, jauh di bawah nilai ambang Pertubuhan Kesihatan Sedunia sebanyak 5%. Apabila kilang ditutup kerana kes positif Covid-19 dikesan, kilang dibuka semula selepas dua hari dan sanitasi yang teliti. Mengapa sanitasi tidak dilakukan Jumaat lalu supaya Parlimen boleh dibuka semula pada hari Isnin? 

Ketika ujian saringan pertama dilakukan pada 23 Julai sebelum Parlimen bersidang pada 26 Julai, terdapat 53 kes positif daripada 1,925 ujian saringan atau kadar positif 2.8% namun Parlimen telah bersidang tanpa gangguan pada 26 Julai. Mengapa Parlimen boleh bersidang ketika kadar positif 2.8% tetapi tidak ketika ia 0.9%? Jelas ini tidak berdasarkan sains dan data seperti yang didakwa oleh Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri tetapi meletakkan kuasa dan jawatan bukan kebimbangan ke atas kesihatan demi survival politik. 

Jelas bahawa Perdana Menteri takut Parlimen membahaskan titah umum Yang di-Pertuan Agong dan bahawa sebahagian besar Ahli Parlimen akan menyatakan sokongan penuh kepada Yang DiPertuan Agong menentang Perdana Menteri. Atau beliau khuatir bahawa majoriti Ahli Parlimen akan menunjukkan kehilangan kepercayaan terhadapnya berikutan hilangnya kepercayaan Yang DiPertuan Agong terhadap kepemimpinan beliau. Perdana Menteri mungkin takut dengan mesyuarat Parlimen tetapi Ahli-Ahli Parlimen tidak takut.

Sebilangan besar Ahli Parlimen tidak takut untuk bersidang walaupun ada kerisauan Covid-19 kerana nyawa negara, Perlembagaan Persekutuan kita, rakyat kita dan masa depan negara yang dipimpin oleh kepimpinan yang benar yang tidak menipu rakyat dan Yang di-Pertuan Agong adalah lebih penting. Kepada Ahli Parlimen yang takut, mereka tidak perlu datang ke Parlimen, biar mereka yang tidak takut tetapi lebih bimbang dengan masa depan nyawa dan mata pencarian rakyat Malaysia untuk menghadiri Parlimen. Kami akan berada di Parlimen esok.

Kenyataan dikeluarkan Ahad, 1 Ogos 2021.