Berita

Belanjakan tambahan RM1.5b beli baki vaksin

DAP mendesak Kerajaan Perikatan Nasional (PN) membelanjakan tambahan RM1.5 bilion bagi membeli baki 11.2 juta dos yang diperlukan daripada Pharmaniaga. 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, langkah itu adalah untuk menvaksinasi semua 18.8 juta orang dewasa yang telah mendaftar untuk divaksinasi sepenuhnya, dan mencapai imuniti kelompok.

“Kerajaan Persekutuan tidak perlu menunggu dua hingga tiga bulan lagi untuk semua vaksin Pfizer tiba, tetapi segera membeli 11.2 juta vaksin Sinovac daripada Pharmaniaga, yang mempunyai 14 juta vaksin untuk dijual. 

“Rakyat Malaysia sudah letih menunggu temujanji vaksin mereka, terutamanya mereka yang telah mendaftar pada bulan Februari atau Mac. 

“Ada yang tidak kena dengan sistem MySejahtera apabila ia tidak dapat beroperasi berdasarkan ‘first-come first-service’ walaupun RM70 juta telah dibelanjakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurut Guan Eng, dalam ucapannya di Parlimen pada 28 Julai 2021, Menteri Penyelaras Vaksinasi, Khairy Jamaluddin menyebut bahawa 12.5 juta rakyat Malaysia sekurang-kurangnya telah menerima dos pertama daripada 18.8 juta orang dewasa yang telah mendaftar. 

Oleh kerana 18.8 juta orang dewasa Malaysia yang telah mendaftar merupakan 80.5 peratus populasi orang dewasa di Malaysia, tambahnya, 37.6 juta dos vaksin diperlukan. 

Beliau menambah, kerajaan telah menerima 26.4 juta dos vaksin, kurang 11.2 juta dos yang dijangka tiba dalam dua hingga tiga bulan akan datang.

Daripada 26.4 juta dos vaksin yang telah diterima, tegasnya, 18.4 juta dos telah diberikan. 

Beliau berkata, baki 8 juta dos akan selesai diberikan dalam 16 hari sekiranya kadar semasa 500,000 dos sehari dicapai. 

“Apa yang diperlukan adalah 11.2 juta dos vaksin lagi bagi membolehkan PICK melakukan imunisasi dengan segera kepada semua 18.8 juta orang dewasa yang telah mendaftar. 

“Mengapa tidak membeli baki 11.2 juta dos daripada Pharmaniaga yang menjual 14 juta dos Sinovac?” soalnya. – Roketkini.com