Berita

KPM digesa pertimbang semula keputusan buka sekolah 1 September

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mempertimbangkan semula keputusan membuka semula sekolah pada 1 September.

Katanya, ia mengambil kira situasi Covid-19 yang semakin memburuk ketika ini. 

“Semasa KPM mengumumkan keputusan itu pada 17 Julai, terdapat 12,541 kes Covid-19 dan 115 kematian pada hari sebelumnya, 16 Julai. Semalam, terdapat 21,668 kes baru Covid-19 dengan 318 kematian dicatatkan.

“Pada 16 Julai, jumlah kes kumulatif Covid-19 adalah 893,323 dengan 6,728 kematian. Hari ini, angka itu meningkat kepada 1,342,215 kes dengan 11,691 kematian,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri turut menggesa KPM mengadakan perbincangan dengan guru, ibu bapa dan pengamal perubatan mengenai isu tersebut. 

Mengulas lanjut, katanya, beliau bersetuju dengan Aktivis masyarakat, Dr. Mohamad Rafick Khan bahawa setiap sekolah perlu ada Manual Pengurusan Risiko Covid (CRMM) sebelum sekolah dibuka semula.

“Saya bersetuju dengan Dr. Rafick bahawa untuk sekolah dibuka semula semasa musim wabak Covid-19, ia mesti mempunyai CRMM yang baik yang memberi kuasa kepada jawatankuasa pengurusan risiko, menyediakan dana yang diperlukan dan melaksanakan Garis Panduan Pengurusan Risiko Covid (CMRG) di sekolah. Pengurusan risiko adalah usaha gabungan sekolah, ibu bapa dan profesional perubatan.

“Pengurusan Risiko Covid-19 (CRM) berlainan untuk setiap jenis sekolah. Mungkin ada komponen yang sama tetapi secara umum, kelainan itu bergantung kepada jenis sekolah tersebut; sama ada sekolah berasrama penuh atau bukan asrama selain mengambil kira usia pelajar.

“Vaksinasi adalah komponen CRMG, tetapi yang paling penting CRMM dirancang dengan tujuan pencegahan dan pengurusan wabak untuk mengesan mereka yang dijangkiti dan mencegah jangkitan lanjut,” ujarnya. — Roketkini.com