Berita

Malaysia perlukan Anwar sebagai PM bawa dasar baharu tangani Covid-19

Malaysia memerlukan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri baharu untuk membawa masuk pasukan dan dasar yang lebih segar untuk menangani krisis kesihatan akibat Covid-19 dan juga menyalakan semangat untuk Impian Malaysia.

Tegas veteran DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Menteri, Ismail Sabri – yang disebut-sebut akan diangkat menjadi perdana menteri – tidak layak untuk menggalas tanggungjawab tersebut kerana telah menjadi “muka awam kerajaan yang gagal menguruskan wabak”.

“Melainkan terdapatnya kepimpinan dan dasar-dasar baharu, Malaysia akan terus menuju ke arah 15,000 kematian dan lebih daripada 1.7 juta kes Covid-19 semasa kita menyambut Hari Kebangsaan ke-64 pada 31 Ogos. 

“Tidak akan ada perubahan arah dasar, sama ada dalam pengurusan pandemik Covid-19, kebangkitan semula ekonomi, atau dasar pembangunan negara bangsa yang telah menyebabkan negara dikatakan sebagai berada dalam arah menjadi sebuah negara gagal oleh para pemerhati politik,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Malah tegasnya, Ismail sebagai perdana menteri hanya akan meneruskan dasar kakistokrasi dan kleptokrasi sedia ada yang hanya akan menyebabkan Malaysia menjadi sebuah negara gagal. 

“Malaysia memerlukan seorang perdana menteri baharu dan kepimpinan baharu di mana semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, mahupun politik boleh bercita-cita dengan Impian Malaysia, di mana negara kita menjadi sebuah negara berkelas dunia, dan mengambil langkah untuk memenuhi aspirasi Bapa Malaysia untuk menjadikan negara kita ‘sinar cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu’,” ujarnya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri dalam pada itu turut menyorot perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang dilihat ketinggalan berbanding negara serantau. 

“Sejak tahun 1970, KDNK Malaysia telah berkembang sebanyak 90 kali ganda, namun begitu angka ini untuk Indonesia, Vietnam, China, Singapura, dan Korea Selatan, masing-masing berkembang sebanyak 117, 122, 163, 175, dan 178 kali ganda. 

“Selepas 50 tahun, kedua-dua Singapura dan Vietnam telah mengatasi kedudukan Malaysia dengan KDNK yang lebih besar.

“Dalam masa 50 tahun yang akan datang, adakah kita akan mengatasi negara lain atau akan ada lebih banyak negara lain yang mengatasi kita?” soalnya.

Justeru, katanya, negara memerlukan seorang perdana menteri yang boleh merancang untuk Malaysia dalam tahun 2070, bukan hanya memikirkan kelangsungan karier politik atau hanya menumpukan usaha untuk mengawal wabak Covid-19 sahaja. — Roketkini.com