Berita

Tubuh Kementerian Kanak-kanak, lantik menteri KDN wanita – Wanita PH

Oleh B. Suffian

Wanita Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menubuhkan Kementerian Kanak-Kanak serta melantik seorang wanita sebagai Menteri Dalam Negeri selaras konsep ‘Keluarga Malaysia’.

Dalam satu kenyataan, Wanita PH berkata, cadangan penubuhan Kementerian Kanak-Kanak adalah agar hak dan suara kanak-kanak di seluruh negara tidak ditenggelami oleh isu-isu lain yang kebiasannya dibawa ke meja rundingan dalam mesyuarat Kabinet.

Menurutnya, Wanita PH juga menyarankan agar seorang wanita dilantik untuk menggalas kewajipan dan memikul tanggungjawab mengetuai Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang belum pernah berlaku dalam sejarah negara Malaysia.

“Tinggal tujuh hari sahaja lagi untuk Keluarga Malaysia menyambut Hari Kebangsaan yang ke-64. 

“(Pada) 64 tahun yang lalu, negara Malaysia membebaskan dirinya daripada cengkaman penjajah. Sesuai alaf baharu ini, marilah kita membebaskan diri daripada cengkaman penjajahan minda dan fikiran,” katanya hari ini. 

Kenyataan itu menambah, Wanita PH turut menyeru agar Perdana Menteri memberikan kepentingan kepada suara mereka untuk memastikan kebajikan, perlindungan serta hak kanak-kanak terus terbela di kala pandemik ini. 

Penubuhan satu kementerian baharu khas untuk isu-isu yang berkaitan dengan kanak-kanak jelasnya, akan memberi harapan kepada semua kanak-kanak bahawa keperluan mereka diberikan keutamaan dan berada di pentas yang sama seiring dengan pelan-pelan pemulihan negara yang lain.

Pengkhususan satu kementerian khas untuk kanak-kanak tambahnya, amat diperlukan di kala pandemik Covid-19 dengan tragedi yang menimpa golongan rentan ini yang ramai ditinggal sebagai anak-anak yatim piatu setelah nyawa kedua ibubapa mereka diragut musibah Covid-19. 

“Perhatian seorang Perdana Menteri tidak wajar hanya tertumpu kepada suara penduduk yang ada hak mengundi tetapi semestinya juga terhadap suara kanak-kanak. 

“Suara kanak-kanak yang mendominasi populasi negara sebanyak 30 peratus harus diperuntukkan sekurang-kurangnya sebuah agensi kanak- kanak, jika pun penubuhan sebuah kementerian memerlukan sedikit masa.

Pada masa yang sama, jelas kenyataan tersebut, sudah tiba masanya untuk negara Malaysia melantik seorang wanita sebagai Menteri Dalam Negeri untuk melicinkan proses antaranya permohonan kewarganegaraan. 

Selain itu, pelantikan tersebut boleh membawa penambahbaikan serta reformasi institusi dalam menjaga, memulih serta memelihara kebajikan, integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen serta penambahbaikan penjara dan pusat tahanan. 

“Kami mencadangkan seorang wanita mengetuai Kementerian Dalam Negeri yang sensitif dan peka kepada isu gender, prokeluarga dan pro-kanak-kanak. 

“Ya, sememangnya tugas dan tanggungjawab seorang Menteri Dalam Negeri adalah untuk menjaga keselamatan negara tetapi tidaklah terbatas kepada ‘law and order’ semata- mata. Suntikan semangat positif serta penambahbaikan infrastruktur serta polisi amat diperlukan,” katanya. – Roketkini.com