Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Kit Siang cabar Ismail Sabri sahut cabaran bawa Malaysia ke arah kejayaan

oleh Ghafar NS

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dalam satu kenyataannya hari ini mencabar Perdana Menteri, Ismail Sabri dan Kabinetnya untuk berusaha lonjakkan kedudukan Malaysia dalam Carta Ketahanan Covid Bloomberg seperti mana Ireland.

Menurut Kit Siang, Malaysia berada pada kedudukan ke-51 pada September dan bulan ini juga dianggap sebagai “bulan berdarah” apabila negara mencatatkan 10,000 angka korban akibat wabak Covid-19 ini.

“Sejak Kabinet Ismail Sabri mengangkat sumpah pada 30 Ogos, angka kes jangkitan harian Covid-19 masih tidak mampu turun di bawah paras 10,000 kes,” katanya.

Bagaimanapun negara Ireland, kata Kit Siang berjaya melonjak dari kedudukan ke-39 pada awal tahun 2021, ke tempat pertama bulan September dalam Carta Ketahanan Covid Bloomberg.

“Mampukah Rancangan Malaysia ke-12 menjadi pemangkin untuk Malaysia bangkit segera dari kedudukan ke-53 pada Ogos kepada kedudukan pertama dalam Carta Ketahanan Covid Bloomberg?” Soal Veteran DAP itu.

Tambahnya lagi, Malaysia dianggap sebagai negara ASEAN terburuk dalam menguruskan penularan Covid-19, terutama dari sudut angka kes kematian harian dan Malaysia dilihat perlu menempuh banyak dugaan lagi.

“Beranikah Ismail Sabri menyahut cabaran membawa Malaysia ke arah kejayaan dan memastikan Rancangan Malaysia ke-12 sebagai game-changer dalam melonjakkan kedudukan Malaysia ke kedudukan teratas dalam Carta Ketahanan Covid Bloomberg?” Soal Kit Siang. – Roketkini.com