Berita

Isu pekerja asing: kerajaan perlu cari solusi jangka panjang

Oleh B. Suffian

Kerajaan perlu mencari penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing kurang mahir dalam sektor perladangan sawit.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkata, salah satu jalan penyelesaian ialah untuk melabur dalam teknologi terutamanya untuk kerja-kerja yang pada masa kini bersifat intensif buruh seperti pembajaan dan penuaian buah sawit.

Dengan aplikasi teknologi tersebut, menurut beliau, sektor perladangan sawit boleh mengurangkan tenaga buruh kurang mahir terutamanya dari kalangan pekerja asing.

Sebaliknya, tambah Shu Qi, pengusaha boleh mengambil pekerja rakyat Malaysia dengan gaji yang lebih lumayan untuk mengendalikan peralatan serta mesin berteknologi tinggi tersebut.

“Dalam aspek ini, kerajaan perlu memimpin dan tidak menunggu pihak swasta. Jika tidak, masalah ini tidak akan berakhir sekiranya tiada pihak yang sanggup melabur dalam peningkatan teknologi sektor perladangan sawit.

“Tingkatkan subsidi untuk membantu ladang-ladang beralih daripada proses yang intensif buruh kepada proses berteknologi tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, kerajaan terpaksa membawa masuk 32,000 pekerja asing dalam sektor perladangan susulan rakyat tempatan tidak berminat bekerja di ladang walaupun ditawarkan gaji lumayan.

Zuraida berkata, ini menyebabkan syarikat terutama di ladang sawit mengalami kekurangan pekerja terutama untuk kerja-kerja menuai berikutan rakyat tempatan menganggap pekerjaan itu sukar dilakukan.

Shu Qi memberitahu, masalah kebergantungan kepada pekerja asing kurang mahir dalam sektor perladangan sawit adalah satu isu yang diketahui umum.

Beliau menambah, tidak perlu dengar ulasan seorang yang bertaraf menteri semata-mata mengulangi perkara yang sudah menjadi pengetahuan am iaitu orang tempatan kurang berminat untuk bekerja dalam sektor tersebut.

Malah, Shu Qi berkata, celoteh menteri tentang bagaimana pekerjaan itu menawarkan gaji lumayan tetapi pekerja tempatan masih memilih-milih kerja adalah tidak wajar sama sekali.

“Sekiranya rakyat Malaysia adalah pemalas dan mengelak daripada kerja kotor, sukar dan bahaya ataupun 3D (dirty, difficult, dangerous), kenapa beribu-ribu rakyat Malaysia sudi bekerja di ladang epal di Australia untuk memetik buah epal?

“Tambahan pula, rakyat negara kita merupakan kumpulan yang paling besar di kalangan pekerja asing tanpa izin (PATI) di Australia menurut satu laporan media tidak lama dahulu. Pekerjaan yang dibuat oleh PATI rakyat Malaysia di Australia adalah kerja kotor, sukar dan bahaya,” katanya.

Sehubungan itu, jelas Shu Qi, bukan masalah rakyat Malaysia terlalu memilih tetapi masalahnya ialah proses kerja di sektor perladangan sawit Malaysia masih berorientasikan aktiviti yang intensif buruh dan tiada nilai produktiviti yang tinggi.

Shu Qi memberitahu, rakyat dan industri mahukan penyelesaian dan ini memerlukan iltizam politik di pihak pemerintah.

Beliau berpendapat, rancangan kerajaan untuk mengambil 32,000 pekerja asing adalah umpama mengambil jalan pintas, ‘makan panadol’ walaupun menghadapi masalah yang lebih berat.

“Datang lagi beberapa tahun, kita akan dipaksa berdepan isu yang sama berulang kali,” katanya.

Tambahan pula, kata beliau, pekerja asing tidak boleh dianggap akan sentiasa sudi untuk datang bekerja di negara kita.

Menurutnya, golongan itu merupakan penghijrah ekonomi, di mana tempat yang menawarkan pekerjaan yang lebih lumayan, di situ mereka akan pergi.

“Hari ini mungkin Malaysia sebuah destinasi ekonomi yang menarik kepada golongan ini, besok apabila negara lain memberikan tawaran yang lebih baik, mereka pula akan beralih ke sana.

“Apa akan terjadi dengan industri kita pada masa itu? Jika kita tidak mula merancang dengan baik pada hari ini, sektor perladangan kita berisiko besar menjadi lumpuh di masa hadapan nanti,” jelasnya. – Roketkini.com