Berita, Kenyataan Akhbar

Parti Kuasa Rakyat jangan jadi parti “Pak Turut”!

oleh Ghafar NS

Perbezaan kelas yang berlaku secara terang-terangan hari ini wajar dikritik oleh Parti Kuasa Rakyat yang ditubuhkan dengan hasrat membantu golongan miskin, tanpa mengira kaum dan bangsa.

Menurut satu kenyataan media Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng pada 16 Oktober lalu, “semangat marhaen” yang diguna pakai oleh parti yang ditubuhkan Kamarazaman Yaakob perlu dihidupkan dan jangan sekadar untuk menarik minat sahaja.

“Apakah pendirian Parti Kuasa Rakyat dengan pendedahan akaun-akaun pesisir yang dimiliki beberapa orang ternama Malaysia melalui ‘Kertas Pandora’?

“Ketua Pembangkang, Dato Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah beberapa kali menegaskan kepentingan isu ini dibahas di Parlimen, lebih-lebih lagi pengaliran wang ke akaun pesisir ini jelas merugikan negara dan kita akan menjadi bertambah susah.” Tambah Lip Eng.

Bercakap tentang ‘Kertas Pandora’ ini, Lip Eng menegaskan bahawa ia bukanlah satu isu yang boleh dipandang enteng, lebih-lebih lagi ketika negara dan rakyat sedang bergelut dengan masalah ekonomi.

“Ketika negara dan rakyat dalam kesulitan, individu-individu kaya di Malaysia ini sibuk menyimpan wang dan aset mereka yang bernilai jutaan serta berbilion ringgit dalam akaun-akaun pesisir.

“Sudah tiba masanya pemimpin-pemimpin Parti Kuasa Rakyat untuk dengan lantang mengkritik serta ‘call out’ individu-individu yang menindas orang-orang miskin di negara ini.” Tegas Ahli Parlimen Kepong itu lagi. – Roketkini.com