Berita

Komitmen kerajaan diperlukan untuk tingkatkan ekuiti kaum India

Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar percaya, sasaran ekuiti tiga peratus bagi kaum India bukanlah sesuatu yang tidak boleh dicapai.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, sekiranya kerajaan mempunyai kesungguhan politik dalam hal tersebut, beliau pasti sasaran itu boleh dicapai dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12.

Menurut beliau, setakat ini ekuiti kaum India hanyalah 1.15 peratus berbanding dengan sasaran tiga peratus.

“Walau bagaimanapun, tanggunjawab ini tidak boleh diletakkan di bahu Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) semata-mata. MITRA bukanlah satu agensi strategik yang boleh membantu dalam pembangunan sosio-ekonomi secara menyeluruh.

“Intervensi dan penglibatan Jabatan Perdana Menteri adalah perlu untuk merangka pelan-pelan strategik, melaksanakan pelan-pelan tersebut secara sistematik dan pemantauan yang rapi untuk memastikan kaum India tidak tercicir daripada kemajuan yang bakal dinikmati oleh ‘Keluarga Malaysia’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, Sivakumar juga mencadangkan supaya kerajaan peruntukan RM500 juta setiap tahun bagi tujuan itu.

Jelasnya, beliau bersetuju dengan usaha-usaha dan tindakan-tindakan pembangunan Bumiputera melalui agensi-agensi termasuk Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU),

Tambahnya, ini adalah penting demi memastikan pembangunan sosioekonomi yang adil dan saksama antara kaum.

Pada persidangan hari pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Parlimen Ke-14, Sivakumar berkata, beliau telah menerima baik jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd. Yazid.

Beliau berkata, Mastura menjawab secara terperinci mengenai status dan tindakan-tindakan pembangunan Bumiputera di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

“Saya terima baik jawapan yang diberikan oleh timbalan menteri kerana pembanguan sosioekonomi yang adil dan saksama antara kaum adalah tunggak keharmonian yang menjadi asas keselamatan dan kesejahteraan negara kita.

“Usaha-usaha untuk meningkatkan tahap sosio-ekonomi kaum Bumiputera adalah wajar,” katanya.

Ujarnya, agensi-agensi kerajaan yang terlibat perlu melaksanakan tanggungjawab dengan dengan penuh komitmen bagi mencapai sasaran pembangunan sosioekonomi seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12. – Roketkini.com