Berita

DAP lancar kutipan sumbangan sempena PRN Melaka

DAP hari ini melancarkan kutipan sumbangan sempena pilihan raya negeri (PRN) Melaka bagi membiayai kos operasi kempen.

Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata, sumbangan boleh dibuat secara terus atau menerusi pembelian barangan cenderahati berupa pelitup muka, baju-t dan botol minuman dengan rekaan khas yang boleh didapati di laman sesawang www.ubah.my.

Tambahnya, kutipan sumbangan itu turut dilancarkan bagi mencari dana untuk membiayai operasi kempen yang dijalankan di empat kerusi marginal DAP. 

“Kerusi marginal adalah kerusi yang dimenangi oleh DAP dengan majoriti tipis pada pilihan raya umum lalu dan berisiko kalah.

“DAP menang lapan kerusi pada pilihan raya umum lalu di bawah panji Pakatan Harapan dan kali ini kami masih bertanding di kelapan-lapan kerusi ini, tetapi empat daripada kerusi ini dilihat sebagai kerusi marginal,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP, hari ini. 

Empat kerusi DUN tersebut adalah Gadek, yang akan ditandingi penyandangnya G Saminathan, Pengkalan Batu (Muhamad Danish Zainudin), Duyong (Damian Yeo Shen Li) dan Bemban (Tey Kok Kiew).

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut adalah Bendahari DAP, Fong Kui Lun; Setiausaha Antarabangsa DAP, Teo Nie Ching dan Naib Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong. 

Peluang rakyat nyatakan pandangan

Sementara itu, Tony yang juga Ahli Parlimen Damansara menyifatkan PRN Melaka ini sebagai pilihan raya yang penting. 

“Seperti yang disebutkan saudara Fong Kui Lun, ia adalah pilihan raya yang penting kerana ia adalah kali pertama rakyat diberikan peluang untuk menyuarakan pandangan dan pendapat tentang apa yang telah berlaku sepanjang dua tahun lalu. 

“Ini termasuk semua kegagalan kerajaan Perikatan Nasional yang terdiri daripada UMNO dan Bersatu,” katanya.

Tambahnya, tiada peluang yang lebih baik lagi untuk rakyat menyuarakan bantahan dan kemarahan mereka terhadap kerajaan dalam pilihan raya negeri kali ini. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November. — Roketkini.com