Rencana

Kebahagiaan dan kesejahteraan rakyat Duyong keutamaan “Baba” Yeo

Oleh Aziera NH

Kebahagian dan kesejahteraan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong terus menjadi fokus utama penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Damian Yeo Shen Li .

Damian yang juga dikenali sebagai ‘Baba Yeo’ dalam kalangan masyarakat setempat berkata, jika diberi peluang meneruskan kesinambungan perkhidmatannya sebagai ADUN di Duyong, beliau berhasrat untuk mewujudkan satu masyarakat berkebajikan melalui insiatif Duyong Cares.

“Kebajikan anda adalah kebajikan kita.

“Salah satu manifesto saya ialah untuk mewujudkan sebuah masyarakat berkebajikan dengan membekalkan bantuan berbentuk kemudahan peralatan dan juga perubatan serta nasihat perundangan percuma.

“Rakyat Duyong boleh datang berjumpa saya di pejabat saya pada setiap hari Rabu dari pukul 4 petang hingga 9 malam untuk dapatkan nasihat perundangan secara percuma,” katanya dalam Ceramah Digital Kesidang semalam.

Inisiatif tersebut telah dimulakan olehnya sejak tahun 2004 lagi iaitu ketika beliau mula berkecimpung dalam bidang politik melalui parti DAP.

Selain itu, katanya, beliau juga ingin merealisasikan projek Pekampungan Hang Tuah sebagai pusat perlancongan baru di negeri bersejarah itu selain membantu untuk pertingkatkan ekonomi dan infrastruktur rakyat di kawasan Duyong.

Menurut Damian, DUN Duyong mempunyai tarikan tersendiri yang boleh dikomersialkan sebagai kawasan pelancongan terkemuka negara.

“Saya ingin merealisasikan Perkampungan Hang Tuah sebagai satu muzium hidup di mana budaya, adat dan tradisi Melayu dapat diperkenalkan dari dalam dan luar negara.

“Masih ingat pada tahun 2018 dan 2019 semasa saya memperkenalkan Duyong Cultural Festival atau Pesta Kebudayaan Duyong untuk menjana ekonomi rakyat.

“Pelancongan merupakan satu sumber utama kepada rakyat negeri Melaka,” jelasnya.

Tambahnya, beliau juga akan memastikan program Kelas Tuisyen Percuma untuk pelajar-pelajar yang memerlukan di kawasan Duyong akan diteruskan.

“Itulah salah satu inisiatif saya ketika kita menjadi kerajaan selama 22 bulan.

“Tapi malangnya dikhianati, tetapi saya percaya sekiranya kita dipilih menjadi kerajaan semula, inisiatif-inisiatif ini akan kita teruskan kepada rakyat Duyong,” katanya lagi. – Roketkini.com