Berita

Calon PH Bandar Hilir fokus perkasa wanita, wujud kerja untuk orang muda

Oleh Roketkini

Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir, Leng Chau Yen menggariskan keutamaannya untuk memperkasa hak wanita jika menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Selain itu, katanya, beliau turut menumpukan kepada usaha mewujudkan pekerjaan kepada golongan muda di kawasan tersebut.

Chau Yen, 37, berkata, beliau akan memperjuangkan hak wanita dan menyediakan ruangan yang lebih besar kepada wanita untuk bergiat aktif dalam politik serta membina negara yang berkepelbagaian.

“Kita mengalakkan penglibatan wanita dalam politik dan ini merupakan proses pembangunan masyarakat untuk jangka masa panjang.

“Dengan mandat yang diberikan, kami akan menyediakan platform yang lebih luas supaya wanita dapat melibatkan diri dalam arena politik,” katanya di laman Facebook semalam.

Beliau menambah, golongan wanita bukan sekadar memainkan peranan penting dalam institusi kekeluargaan malah sektor ekonomi juga.

“Penglibatan wanita akan memberi sumbangan yang besar dalam sesebuah bidang terutamanya dalam menentukan sesuatu keputusan dari pelbagai perspektif,” katanya.

Dalam pada itu, dalam klip video yang disiarkan di laman Facebook, Chau Yen berkata, beliau akan menumpukan usaha mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada orang muda.

Langkah itu kata beliau, adalah supaya golongan itu tidak perlu berhijrah ke negeri lain untuk bekerja.

“Masalah utama di Bandar Hilir adalah golongan muda yang meninggalkan kampung halaman. Ramai pemuda tidak dapat peluang pekerjaan di sini.

“Mereka terpaksa berhijrah ke luar untuk mendapatkan kerja menyebabkan mereka perlu berpisah dengan keluarga.

“Oleh itu, saya rasa perlu sediakan lebih banyak peluang pekerjaan di Bandar Hilir dan mengembalikan kemeriahan seperti dulu,” katanya. – Roketkini.com