Rencana

PRN Melaka: Undi anda penentu kemenangan HARAPAN

Oleh Aziera NH

Kadar peratusan keluar mengundi yang tinggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi antara faktor penentu kemenangan DAP dan Pakatan Harapan (PH).

Oleh itu, pengarah Pilihan Raya DAP bagi PRN Melaka, Khoo Poay Tiong menyeru agar semua pengundi Melaka untuk keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

Poay Tiong berkata, saingan sehingga enam penjuru di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Melaka kali ini merupakan cabaran besar buat DAP untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

“Saingan berkenaan boleh mengelirukan pengundi kerana terdapat banyak logo atau lambang parti di dalam kertas undi sehingga menyebabkan mereka sukar membuat pilihan tepat.

“Bagi DAP Melaka sudah pasti kita ingin pertahankan lapan kerusi yang telah menangi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lepas, dan keutamaan akan diberikan pada lapan kerusi ini selain membantu rakan komponen parti dalam PH untuk mempertahankan tujuh lagi kerusi yang pernah kita menangi,” katanya dalam sidang akhbar atas talian sempena PRN Melaka semalam.

Dalam pada itu, ADUN Pasir Pinji, Howard Lee turut mengajak seluruh rakyat Melaka untuk keluar membuang undi bagi memastikan pertelingkahan dan permainan politik kotor oleh Perikatan Nasional dan Barisan Nasional dapat dihentikan.

“Seluruh rakyat Melaka perlu keluar membuang undi ramai-ramai.

“Jangan bagi ruang untuk sesiapa pertikai keabsahan kemenangan kita nanti, kalau kadar peratus keluar undi pun rendah,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

ADUN Jementah, Tan Chen Choon juga tidak ketinggalan memohon semua pengundi Melaka yang tinggal di luar negeri itu untuk pulang mengundi bagi membentuk sebuah kerajaan yang berkaliber dan stabil di negeri tersebut.

“Dengan rendah diri, saya pohon kepada semua pengundi Melaka yang tinggal di luar negeri Melaka untuk balik mengundi.

“Melaka memerlukan anda untuk menolak parti-parti pengkhianat untuk membentuk sebuah kerajaan yang berkaliber dan stabil untuk rakyat Melaka, sila undilah PH!” katanya. – Roketkini.com