Berita, Isu Semasa

Segera selesai punca utama kenaikan harga barang – Khoo Poay Tiong

Kenyataan media Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong pada 6 Disember 2021

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengumumkan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia bagi menstabilkan harga barang keperluan asas.
 
Pelaksanaan skim ini menunjukkan kerajaan “Keluarga Malaysia” telah gagal mengawal inflasi harga barang sehingga terpaksa mengambil tindakan drastik sebegini.
 
Tidak dinafikan pelaksanaan harga maksimum, ataupun “price ceilling”, dapat mengelakkan kenaikan harga barangan dalam jangka masa pendek.
 
Namun, dasar ini akan mendatangkan kesan yang besar kepada seluruh rantaian bekalan dan memangsakan pihak pengeluar, pemborong, dan peruncit. Pelaksanaan harga maksimum semata-mata tidak menyelesaikan punca utama harga barang naik dan merupakan jalan singkat yang tidak mampan.
 
Saya juga dimaklumkan bahawa dalam sebuah mesyuarat baru-baru ini di antara KPDNHEP dengan penggiat industri, Menteri menyatakan antara satu sebab dasar harga maksimum perlu dilaksanakan adalah kerana “Lim Guan Eng telah membangkitkan isu harga barang naik di parlimen”.
 
Tindakan ini bukan sahaja tidak professional, malah bersifat politik dengan sikap “semua salah DAP”.
 
Kerajaan harus sedar bahawa kenaikan harga barang adalah disebabkan oleh kegagalan kerajaan menyokong dan mengawal ekonomi negara dengan baik, khususnya dalam situasi pandemik Covid-19.
 
Antaranya, pihak industri telah banyak kali mengutaranya masalah kekurangan pekerja. Ini memberi kesan kepada kadar dan kos pengeluaran mereka.
 
Selain itu, harga barangan input seperti baja, dedak haiwan, dan bahan pembiaan, khususnya yang bergantung kepada pengimportan, juga telah meningkat.
 
Oleh itu, kerajaan perlu mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh dalam mengatasi krisis kenaikan harga barang ini.
 
DAP mengulangi saranan kami untuk memperuntukkan RM3 billion daripada Cukai Makmur ke dalam sebuah Dana Penstabilan Harga Barang Nasional. Dana tersebut boleh digunakan untuk memberi insentif pengeluaran atau subsidi kos kepada pengeluar, atau untuk membeli terus daripada pengeluaran dan mengurangkan kos logistik.