Berita, Isu Semasa, Kenyataan Akhbar

Kerajaan tidak komited pembangunan SJKT – Teo Nie Ching

Oleh Ghafar NS

Amat mengejutkan apabila peruntukan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang dijanjikan oleh Menteri Kanan Pendidikan berjumlah RM29.98 juta dalam Belanjawan 2021, tidak disalurkan sepenuhnya!

Menurut mantan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching, sudahlah SJKT hanya menerima RM29.98 juta daripada RM800 juta peruntukan untuk tujuan penyelenggaraan dan institusi pendidikan di bawah pengendalian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), namun tetap tidak disalurkan penuh.

“Menurut jawapan Dr. Mohd. Radzi bin Md. Jidin bertarikh 15 Disember 2021 di Parlimen, peruntukan yang telah disalurkan kepada SJKT pada tahun ini hanyalah RM22 juta, padahal, jumlah yang sepatutnya disalurkan adalah RM29.98 juta,” kata Ahli Parlimen Kulai itu.

Beliau dengan tegas mempersoalkan di mana baki peruntukan RM7.98 juta tersebut dan mengapa ia tidak disalurkan kepada SJKT samada sekolah bantuan kerajaan atau sekolah kerajaan pada tahun ini?

Tambah Nie Ching, pada zaman Pakatan Harapan, SJKT diperuntukkkan RM50 juta setiap tahun untuk tujuan penyelenggaraan.

“Sektor pendidikan vernakular amat terkejut atas pengurangan peruntukan sebanyak 40% oleh kerajaan Perikatan Nasional, daripada RM50 juta bagi tahun-tahun sebelum.

“Kegagalan kerajaan untuk menyalurkan jumlah penuh iaitu RM29.98 juta kepada SJKT pada tahun ini membuktikan bahawa kerajaan tidak komited kepada pembangunan SJKT dan langsung tidak mencerminkan semangat Keluarga Malaysia.” Tegasnya.