Berita

Projek tambak laut: KM Melaka perlu tubuh jawatankuasa siasatan

Oleh Roketkini

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali digesa mengambil tiga tindakan sebagai langkah mempertahankan maruah dan imej kerajaan negeri Melaka.

Ini ekoran laporan media semalam yang mengaitkan dua pemimpin UMNO Melaka dengan projek tambak laut di negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata, tiga tindakan perlu diambil ketua menteri merangkumi:

  1. Menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat perkara tersebut seperti yang telah dinyatakan dalam laporan media tersebut dan mempamerkan segala hasil siasatan untuk rujukan awam;

2️. Menyatakan dasar (basis) penganugerahan kontrak kepada empat syarikat yang dilaporkan dalam laporan media sebagai tidak aktif (dormant), mengalami kerugian, serta tidak mempunyai ‘track record’ kewangan yang memuaskan; dan

  1. Menyenaraikan butir-butir serta dasar pemberian/ penganugerahan kontrak yang melibatkan projek Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ).

“Atas sebab kepentingan awam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga wajar memulakan siasatan terhadap apa yang dilaporkan dalam laporan media ini tanpa perlu menunggu laporan SPRM dilakukan oleh mana-mana pihak.

“Kita menunggu jawapan dan tindakan daripada kerajaan Barisan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Portal Malaysiakini semalam menerbitkan laporan bertajuk ‘Dua pemimpin Umno Melaka dikaitkan dengan projek tambak laut’.

Kerk menambah, sekiranya maklumat dalam laporan media itu benar, ini boleh melibatkan unsur korupsi, salah guna kuasa, serta mencemarkan integriti Kerajaan Negeri Melaka.

Minggu lepas, ujarnya, Ketua Menteri, anggota EXCO serta ADUN kerajaan negeri Melaka telah melibatkan diri dalam Ikrar Bebas Rasuah.

“Kerajaan negeri Melaka sepatutnya mempertahankan prinsip bebas rasuah dan ‘zero tolerance’ terhadap perlakuan jenayah rasuah.

“Laporan media ini merupakan cabaran yang pertama kepada kerajaan negeri Melaka bagi menguji keikhlasan kerajaan Barisan Nasional dalam melawan rasuah/korupsi,” katanya. – Roketkini.com