Berita

Keterbukaan DAP jadi tarikan anak muda pelbagai kaum

Oleh Roketkini

Sejak penubuhannya pada tahun 1966, DAP memiliki banyak pemimpin dan calon daripada pelbagai kaum, termasuk Melayu.

Dalam pilihan raya umum (PRU) 1969 yang kali pertama DAP sertai, ia telah meletakkan 10 calon Melayu iaitu sembilan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seorang untuk Parlimen.

Dua daripada mereka berjaya menjadi ahli dewan undangan negeri (ADUN).

Sepanjang perjalanan parti juga, ramai calon Melayu DAP telah memenangi kerusi DUN serta Parlimen, termasuk Ibrahim Singgeh dan Ahmad Nor.

Ketika ini, DAP mempunyai seorang ahli Parlimen dan tujuh ADUN berbangsa Melayu.

Mereka ialah Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Ahli Parlimen Raub), Zairil Khir Johari (ADUN Tanjung Bungah), Syerleena Abdul Rashid (ADUN Seri Delima), Dr. Abdul Aziz Bari (ADUN Tebing Tinggi), Jamaliah Jamaluddin (ADUN Bandar Utama), Edry Faizal (ADUN Dusun Tua), Sheikh Omar Ali (ADUN Paloh) dan Young Syefura Othman (ADUN Ketari).

DAP sebagai parti politik sentiasa terbuka kepada semua kaum dan membuka peluang kepada sesiapa yang berpontensi untuk meningkat naik.

Syahredzan Johan

Dalam satu artikel portal The Vibes, peguam yang juga Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan berpendapat, DAP berada di laluan yang betul untuk menjadi parti yang diterima oleh rakyat Malaysia, terutama orang Melayu.

“Ini terutama di kalangan generasi muda. Lebih ramai golongan muda Melayu yang menyertai parti ini, selepas melihat DAP sebagai parti yang menghargai pemimpin muda, yang jelas dalam bilangan wakil rakyat muda dalam kalangan kami,” katanya.

Syahredzan, 38, berkata, ramai golongan muda Melayu juga tertarik dengan imej ‘rajin’ wakil rakyat DAP kerana usaha mereka sejak sedekad lalu.

“Saya juga tertarik kepada pendirian parti yang memberi peluang kepada golongan muda. Saya percaya saya dapat membina Malaysia yang lebih baik menerusi parti ini,” katanya.

Zairil Khir Johari

Dalam pada itu, Zairil yang juga Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, berkata, rekod prestasi DAP dalam kerajaan negeri Pulau Pinang dan negeri lain seperti Selangor dan Negeri Sembilan telah membantu imejnya.

“Ini benar terutamanya di Pulau Pinang, di mana kerajaan pimpinan DAP tidak mengakibatkan sebarang penindasan terhadap orang Melayu atau mana-mana masyarakat,” tegasnya.

“Dasar kami adalah berasaskan keperluan dan telah terbukti membantu mereka yang paling memerlukannya, terutama orang Melayu, kerana mereka membentuk majoriti kumpulan B40,” katanya.

Syerleena Abdul Rashid

Sementara itu, Syerleena berkata, DAP telah menembusi landskap politik Malaysia dan menyumbang kepada pembaharuan tertentu sejak 2008.

“Tetapi seperti setiap organisasi politik dan bukan politik, anda pasti mempunyai kumpulan yang mungkin menampilkan diri mereka secara berbeza, contohnya, dengan terjerumus ke dalam perangkap berorientasikan kaum,” akuinya.

Syerleena, yang menyertai DAP pada 2013 dan telah menyokong parti itu sejak 1980-an disebabkan bapa saudaranya, ia mungkin mengambil masa satu atau dua generasi untuk mengubah pemikiran semasa mengenai hubungan kaum.

Raja Ahmad Iskandar Fareez

Raja Ahmad Iskandar Fareez, setiausaha penganjur Pemuda DAP Bukit Bintang berkata, adalah penting bagi parti dan ahli untuk meyakinkan orang ramai bahawa usaha masyarakat – termasuk memastikan keselamatan ekonomi, mewujudkan masyarakat yang adil dan inklusif, serta membina komuniti yang bersatu padu – akan meningkatkan kesejahteraan mereka.

Beliau, yang berusia 33 tahun berkata, peluang pekerjaan yang lebih baik, gaji yang lebih tinggi dan kos sara hidup yang lebih rendah harus menjadi tumpuan utama dalam wacana nasional.

“Tetapi saya percaya terdapat cukup pemimpin dan ahli DAP yang cukup berani untuk melawan arus dan mengubah landskap politik kita untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik,” – Roketkini.com