Berita

Kongres Kebangsaan Parti DAP 20 Mac

Oleh Roketkini

Kongres Kebangsaan Parti DAP akan diadakan pada 20 Mac depan bertempat di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara berkenaan telah diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) yang bermesyuarat pada 13 Januari lalu.

Menurut beliau, penangguhan kongres kebangsaan sebelum ini telah dibenarkan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) disebabkan pelbagai sekatan pergerakan rentas negeri akibat pandemik Covid-19.

“Tarikh yang ditetapkan adalah selaras dengan nasihat daripada pihak ROS supaya kongres kebangsaan Parti DAP diadakan sebelum 31 Mac 2022.

“Semua pewakilan yang layak menghadiri Kongres ini perlu hadir secara fizikal di tempat yang ditetapkan untuk proses pengundian CEC DAP dan agenda-agenda mesyuarat yang lain.

“(Ini) dengan syarat mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) persidangan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anthony memberitahu, pihak Ibu Pejabat DAP akan memastikan tempat persidangan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa seperti kapasiti yang dibenarkan dan semua SOP yang berkaitan.

“Notis dan agenda Kongres akan dihantar kepada setiap pewakilan mengikut peruntukan Perlembagaan Parti DAP,” katanya. – Roketkini.com