Berita

KPM, SPP digesa panggil guru interim untuk temuduga

Oleh Roketkini

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) menggesa Kementerian Pendidikan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) segera memanggil guru-guru interim yang dilantik beberapa tahun sebelum ini untuk ditemuduga.

Dalam satu kenyataan, jawatankuasa itu memberitahu, pihaknya mendapat makluman bahawa guru-guru tersebut yang dilantik beberapa tahun sebelum ini tidak dipanggil untuk ditemuduga oleh pihak SPP walaupun tempoh khidmat mereka hampir tamat.

Menurut JKPPH, jawatankuasa itu dimaklumkan yang dalam tempoh perkhidmatan sebagai guru interim, pihak SPP akan memanggil mereka untuk ditemuduga agar boleh diserap sebagai guru tetap selepas tamat kontrak mereka.

“Namun, keluhan daripada guru-guru interim ini, masih ramai yang belum dipanggil oleh SPP.

“Malah pengambilan secara ‘one-off’ yang diumumkan oleh Menteri Kanan Pendidikan tahun lalu untuk mengisi jumlah guru yang tidak mencukupi juga tidak melibatkan guru interim,” kata JKPPH hari ini.

Sementara itu, kenyataan itu memberitahu, JKPPH berpandangan, guru interim perlu diutamakan pengambilan mereka sebagai guru tetap selain graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) memandangkan guru interim telah berpengalaman bertugas di sekolah dan sudah mahir dengan situasi semasa di sekolah.

“Selain itu, tidak memanggil mereka untuk ditemuduga oleh SPP merupakan satu penganiayaan kepada mereka sedangkan dalam surat tawaran kepada mereka telah dinyatakan yang mereka akan dipanggil untuk diserap sebagai guru tetap,” katanya. – Roketkini.com