Majlis Presiden Pakatan Harapan berpandangan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor ini
adalah satu tindakan yang diatur khusus untuk mendesak Perdana Menteri membubarkan
Parlimen dan melaksana Pilihan Raya Umum ke-15 segera. Pada ketika rakyat terutama di Johor
masih terbelenggu dengan isu ekonomi, wabak COVID-19, dan banjir, PRU Johor akan amat
membebankan rakyat.
Walau bagaimanapun, Pakatan Harapan telah membuat keputusan untuk bertanding dalam PRU
Johor. Isu-isu persiapan termasuk agihan kerusi, pelancaran jentera pilihan raya, penamaan calon
Menteri Besar serta sebarang kerjasama atau persefahaman politik dengan parti-parti
Pembangkang yang lain akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Memandangkan wabak COVID-19 di Malaysia sudah semakin bersifat endemik dengan jumlah kes
positif COVID-19 serta jumlah kemasukan ke hospital yang agak stabil, dan jumlah penerima dos
kedua yang mencecah 80% dan dos penggalak lebih 30 peratus, Pakatan Harapan berpendirian bahawa
Suruhanjaya Pilihan Raya perlu memperbetul Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi kempen
PRU Johor ke-15 bagi membolehkan aktiviti seperti ceramah serta kempen bersemuka diadakan
dengan selamat.
Ini termasuk:
1) Membenarkan ceramah dan aktiviti-aktiviti kempen bersemuka seperti pemberian bahan cetak
rumah-ke-rumah dibenarkan dengan pematuhan ketat SOP;
2) Akses media diberi kepada semua parti secara adil dari segi ruangan masa (air time) dan
ruangan cetak (akhbar, media online);
3) SPR digerakkan dengan aktif untuk berada di kedutaan-kedutaan Malaysia di Singapura, UK,
US, Australia serta negara-negara lain untuk memastikan undi pos dapat dilaksana dengan baik;
dan
4) Tempoh kempen sekurang-kurangnya 21 hari.
Majlis Presiden bertekad merangkul seluruh kekuatan Pembangkang dan masyarakat sivil dalam
usaha memenangi PRU Johor ke-15 bukan sahaja demi memenangi semula mandat rakyat yang
telah diperolehi pada PRU-14 yang lalu, tetapi dengan matlamat membentuk sebuah Kerajaan
Negeri yang lebih stabil demi masa depan Johor yang lebih baik. – Roketkini.com