Berita

Isu ‘pembalakan baik untuk harimau’: Kementerian berkaitan perlu sangkal

Oleh Roketkini

Malaysia akan kembali menjadi bahan ketawa dunia jika kenyataan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK), Abdul Khalim Abu Samah berhubung habitat harimau tidak disangkal kerajaan atau kementerian berkaitan.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, hipotesis Abdul Khalim sebelum ini bahawa aktiviti ‘pembalakan baik bagi populasi harimau’ kini berdepan kritikan orang ramai.

Beliau menambah, Abdul Khalim kini mempunyai dua pilihan iaitu sama ada menunjukkan kajian pakar yang mengatakan pembalakan baik bagi habitat harimau atau pun menarik balik dakwaannya dan membuat permohonan maaf.

“Menurut The National Geographic, ’80 peratus daripada haiwan dan tumbuh-tumbuhan darat di Bumi tinggal di hutan dan penebangan hutan mengancam spesies termasuk harimau Sumatera (dan haiwan lain)’.

“Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) menyatakan ‘harimau ditemui dalam pelbagai habitat: hutan hujan, padang rumput, savana dan paya bakau. Malangnya, 93 peratus daripada tanah harimau ‘bersejarah’ telah hilang terutamanya kerana aktiviti manusia yang semakin meluas.

“Menyelamatkan harimau bermakna menyelamatkan hutan yang penting kepada kesihatan planet ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seperti dilaporkan media semalam, Abdul Khalim berkata, kesan pembalakan akan menyebabkan tumbuhnya tumbuhan baru yang menggalakkan kehadiran spesis haiwan yang menjadi makanan kepada harimau.

Berdasarkan fakta kajian oleh pakar, tambah Abdul Khalim, kawasan-kawasan selepas pembalakan sebenarnya bagus untuk populasi harimau.

“Populasi harimau akan lebih tinggi, apabila berlaku pembalakan kawasan itu akan ditumbuhi anak pokok. Jadi kawasan itu akan dihadiri haiwan seperti kancil yang menjadi makanan harimau. Ia akan memudahkan harimau memburu mangsanya,” kata Abdul Khalim seperti dilaporkan Malaysiakini. – Roketkini.com