Berita

Lanjutkan moratorium pinjaman bank, pengecualian faedah, DAP gesa PM

Oleh Roketkini

DAP menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melanjutkan moratorium pinjaman bank dan pengecualian faedah yang akan tamat pada penghujung Januari atau Februari 2022, selama 6 bulan lagi.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, banyak aduan diterima mengenai sentimen perniagaan dan keadaan ekonomi yang lemah ditambah dengan kenaikan harga barangan.

“Walaupun Jabatan Perangkaan (DOS) melaporkan bahawa inflasi tahunan meningkat sebanyak 2.5 peratus pada 2021 berbanding 1.2% deflasi yang dialami pada 2020, realiti di bawah adalah kenaikan harga barangan yang jauh lebih tinggi, terutamanya barang makanan.

“DOS melaporkan bahawa indeks harga pengguna (IHP) bagi Dis 2021 melonjak kepada 3.2 peratus berbanding bulan yang sama pada 2020, melepasi purata kadar inflasi IHP bulanan sepanjang sedekad lalu (2011-2021) sebanyak 1.9 peratus,” katanya.

Menurut beliau, DOS sendiri mengakui bahawa kenaikan IHP sebahagiannya didorong oleh harga barangan yang lebih tinggi bagi makanan dan minuman bukan alkohol, khususnya ayam, minyak masak dan sayur-sayuran.

Tambah Guan Eng, lanjutan moratorium pinjaman bank dan pengecualian kadar faedah selama enam bulan akan membantu menyelamatkan nyawa dan mata pencarian.

“Industri perbankan mampu memikul beban ini apabila mereka dianggarkan mencatatkan keuntungan selepas cukai setinggi RM20 bilion bagi tahun 2021 walaupun menanggung kos pengecualian kadar faedah sebelum ini dan moratorium pinjaman bank tahun lalu,” katanya. – Roketkini.com