Rencana

Kita bermula dari Selatan

Oleh Nor Miswary Ramli

Ironi sungguh apabila mendengar Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini membangkitkan soal maruah apabila Ketua Bersatu Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang bertindak keluar dari parti yang dipimpinnya. 

Dakwa mantan Perdana Menteri Langkah Sheraton itu lagi, pengumuman Mazlan Bujang tidak akan menjejaskan parti berkenaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Muhyiddin dan orang politik faham bahawa penafian tersebut hanya untuk menyedapkan hati sahaja. Muhyiddin sedar pengumuman tersebut sudah tentu akan menjejaskan persiapan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menghadapi PRN Johor. Dalam hati, dia sendiri tahu. 

Tambah malang, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang jenis tidak berani menyebut nama, tumpang berseronok menemplak Muhyiddin apabila secara sinis turut menyindir kenyataan Pengerusi Bersatu tersebut. 

Kata beliau mengata pasal maruah pemimpin keluar parti ibarat ‘tepuk air di dulang’.

Masing-masing serba tidak kena sekarang ini. Baik buat UMNO, Bersatu termasuklah PAS dengan itiknya dan segala jenis haiwan terus-menerus mempersoalkan kesetiaan UMNO untuk terus bersama Muafakat Nasional.

Cuma, apa yang hendak saya syarahkan ini bukanlah hal-hal untuk menyedapkan hati mereka ini. Saya cuma mahu bercerita mengenai politik bermaruah yang dipersoalkan oleh Muhyiddin walhal Muhyiddin Yassin bersama-sama ahli-ahli Parlimen yang lainlah yang terpaling tidak layak untuk bercakap soal maruah.

Sudah menjadi pengetahuan umum ‘scheme of things’ cetusan idea Muhyiddin Yassin yang berjaya memalingkan mereka yang menang dan mendapat kuasa melalui Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan kemudiannya secara tidak bermaruah bersepakat merompaknya di tengah jalan, mengkhianati mandat rakyat dan tiba-tiba menjadi sebuah kerajaan yang baru dengan beliau menjadi Perdana Menteri.

Politik bermaruah tidak ada kepada mana-mana manusia yang kita lihat di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, termasuklah daripada parti pak lebai sekali pun. Tidak ada.

Pemimpin Pakatan Harapan (Harapan) lebih bermaruah dalam berpolitik. Biarpun dizalimi dengan sepak terajang politik Malaysia yang kini tidak lagi mempunyai padang yang sama rata, pemimpin Pakatan Harapan kekal dengan politik bermaruah. 

Langkah Sheraton boleh menjadi saksi perbandingan antara ahli politik yang bermaruah dan mereka yang tidak.

Pakatan Harapan menjadi kerajaan di Persekutuan dengan memasuki dan memenangi PRU-14. 

Kerajaan yang sah ini kemudiannya dirompak di tengah jalan, dikhianati melalui tipu muslihat dan imbuhan tanpa malu dan segan. ‘rompakan’ ini diketuai oleh mereka yang hari ini bercakap soal maruah di depan anak-anak bangsa kita yang telah memberi mandat melalui jalan demokrasi di pintu undi. 

Tidakkah mereka merasa malu pada diri mereka sendiri?

Biarpun kecewa dan marah dengan pengkhianatan oleh mereka ini, Pakatan Harapan tidak merusuh dan tidak melakukan kerosakan sehingga menjejaskan keindahan demokrasi. 

Kesabaran Pakatan Harapan teruji apabila satu demi satu kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan tumbang akibat Langkah Sheraton. 

Sebaliknya, Pakatan Harapan bingkas bangun dan menjadi pembangkang yang lebih bertenaga. Kami biasa menjadi pembangkang dan kembali menjadi pembangkang yang bermaruah bukanlah sesuatu yang sukar.

Namun, apakah yang terjadi selepas itu? Pertukaran Perdana Menteri berlaku sekali lagi selepas UMNO mengambil alih peranan dengan ‘mengkhianati’ kerajaan yang dianggotai oleh mereka sendiri. 

Sejarah menjadi saksi melihat kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin tumbang selepas ahli-ahli parlimen UMNO menarik sokongan kepada beliau. Siapa yang khianat? Siapa yang tidak bermaruah? Adakah Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan?

Malah sehingga rencana ini ditulis, Pakatan Harapan masih berpegang teguh dengan perjanjian persefahaman yang ditandatangani bersama Kerajaan Persekutuan walaupun ada di antara ahli-ahli parlimen yang duduk dalam kabinet adalah mereka pernah mengkhianati kami. 

Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan masih bangun berdiri, melawan, membantah keras, berbahas dan berhujah dengan Kerajaan di dalam Dewan Rakyat dengan maruah di dada.

Rakyat sedar, bukan Pakatan Harapan yang mengkhianati mandat yang mereka berikan. 

Pakatan Harapan menang dan dipilih menjadi wakil mereka. Menjaga maruah kami di mata rakyat jauh lebih utama berbanding di depan mereka yang pernah mengkhianati kami. 

Di Johor misalnya, selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Johor yang dipimpin Menteri Besar UMNO – Datuk Hasni Mohammad – masih lagi boleh mentadbir walaupun hanya dengan satu majoriti sahaja. 

Itu janji pemimpin Pakatan Harapan Johor. Janji ini dibuat bagi mengelakkan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tentu ianya demi kebaikan rakyat Johor juga. Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa pemimpin Pakatan Harapan Johor adalah ahli politik yang bermaruah.

Pemimpin Pakatan Harapan Johor tidak pernah mendesak untuk diadakan PRN. Keutamaan Pakatan Harapan Johor adalah rakyatnya yang baharu sahaja bertatih-tatih mahu bangkit dari segala derita akibat pandemik Covid-19. 

Pakatan Harapan mahu keselamatan dan kesihatan rakyat diutamakan berbanding pertandingan politik yang melelahkan. Pakatan Harapan sedar bahawa maruah rakyat tidak boleh diinjak-injak hanya untuk memuaskan nafsu ahli politik yang seperti tidak mahu tamat ini.

Mengapa PRN Johor masih diperlukan jika penggal ini hanya tinggal setahun lebih sahaja lagi menjelang PRU yang akan datang? Bermaruahkah kita jika masih mahu mengadakan pilihan raya ketika rakyat sedang menderita dengan keadaan ekonomi yang masih turun naik ini?

Menuju pengumuman tarikh PRN Johor yang mungkin akan dibuat selepas Tahun Baru Cina nanti, apa yang boleh saya syorkan kepada Bangsa Johor mungkin tidak begitu penting namun boleh dibuat panduan dalam membuat keputusan.

Bangsa Johor mempunyai harga diri dan maruah untuk dipertahankan dalam PRN kali ini. Bangsa Johor tidak lagi boleh membiarkan ahli-ahli politik yang tamak harta dan rakus kuasa serta menjadikan pengundi sebagai alat untuk memberikan mereka kuasa supaya kuasa tersebut boleh diagihkan kepada dua-tiga kerat orang yang berada di sekeliling mereka.

Bangsa Johor mempunyai maruah yang tidak boleh diperkotak-katikkan oleh ahli-ahli politik yang tanpa malu dan segan mendakwa mereka-lah pembela bangsa dan agama sedang mereka-lah yang mensia- siakan dan membazirkan segala-galanya termasuk harta dan khazanah negara, warisan hutan dan masa berharga anak-anak bangsa kita.

Bangsa Johor mempunyai maruah untuk diteriakkan ke telinga ahli-ahli politik yang berbuat sesuka hati, lagak kuasa itu harta mereka dan kita hanya menjadi khadam pemberi kuasa – mahu dipanggil kita datang, mahu dihalau kita pergi. 

Pemimpin Pakatan Harapan adalah pemimpin yang bermaruah; melawan ketika tegak dan ketika rebah, basah dek luka dan air mata. Pakatan Harapan tidak akan sesekali meremehkan maruah rakyat yang ada hak untuk memilih dengan adil dan saksama.

Pemimpin Pakatan Harapan bukanlah mereka yang menjadi duri dalam daging, gunting dalam lipatan atau kerajaan dalam kerajaan sehingga menumbangkan lawan dalam diam dan tanpa belas ehsan. 

Pemimpin Pakatan Harapan sama seperti Bangsa Johor, kita mempunyai maruah untuk dijadikan panduan – agar yang bobrok tidak lagi ada kesempatan untuk melakukan tipu daya dan pengkhianatan.

Bangsa Johor yang akan memulakan. 

Kali ini kita bermula dari selatan. Bangsa Johor akan mengaum sampai ke utara untuk memberi makna sehingga ke Putrajaya – bahawa maruah Bangsa Johor perlu dipertahan dan dibela agar yang naik memerintah adalah mereka yang memahami derita dan bukanlah mereka yang hanya gila untuk berkuasa!