Berita

Apa usaha PN sebagai parti kerajaan untuk kawal harga?

Oleh Roketkini

Program Jualan Prihatin Rakyat anjuran Perikatan Nasional (PN) di Pagoh, Johor pada Jumaat lalu disifatkan sebagai antara gimik murahan demi menarik pengundi sempena pilihan raya negeri (PRN) negeri.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching berkata, namun begitu, ia tidak memberi impak berterusan kepada rakyat.

“Saya juga berasa kesal dengan realiti kenaikan harga bagi keperluan harian, tetapi ini tidak menghalalkan perbuatan Perikatan Nasional seperti menganjurkan Jualan Prihatin Rakyat.

“Malah, ia lagi mengeruhkan keadaan oleh kerana kita menormalisasikan budaya yang memurahkan undi rakyat dan membebankan pemain industri kecil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahan pula, jelas Nie Ching, sebagai sebuah parti kerajaan, PN harus menghasilkan cadangan dan polisi yang lebih kukuh untuk menghentikan kenaikan harga barang.

Lebih dari 1.6 juta pengguna komersial dan industri perlu katanya, membayar kira-kira 20 peratus lebih untuk bil elektrik iaitu 3.7 sen kilowatt-jam (kWj) bermula dari 1 Februari.

“Bagaimana pemain industri kecil dan peniaga kecil, yang juga pemain industri, mampu membayar bil elektrik yang begitu tinggi?

“Hasilnya, pihak pembekal dan peniaga kecil terpaksa meninggikan harga barang untuk menampung kos.

“Dan beban itu jatuh kepada pengguna untuk membeli barang mereka dengan harga yang lebih tinggi,” katanya.

Nie Ching yang juga mantan timbalan menteri melontarkan persoalan apakah pendirian PN terhadap kenaikan tarif elektrik.

“Bukankah hentikan kenaikan tarif elektrik akan bantu lebih ramai rakyat jelata secara berterusan?” soalnya.

Beliau mengingatkan PN dan Menteri-Menteri PN agar mengiltizamkan rancangan yang lebih teliti supaya tidak membebankan pembekal dan peniaga kecil.

“Saya akur yang promosi sebegini dapat mendapat tarikan yang kuat bagi pengundi tetapi kita kena menilai impak program seperti ini dalam konteks gaji minimum yang rendah, kos sara hidup yang semakin tinggi dan kos yang terpaksa ditanggung oleh pembekal dan peniaga kecil,” katanya. – Roketkini.com