Kenyataan Akhbar

Pendedahan SPRM: Rakyat Malaysia berhak tahu dengan lebih lanjut

Kenyataan media oleh Loke Siew Fook, Setiausaha Agung DAP, berkenaan pendedahan SPRM

Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki semalam yang mendedahkan bahawa terdapat beberapa kes pembelian dalam sektor perkhidmatan kesihatan ketika negara dilanda wabak Covid-19 yang terpalit dengar unsur rasuah.

Beliau turut mendedahkan bahawa SPRM telah membuka beberapa siasatan terhadap perolehan perkhidmatan perubatan, penyalahgunaan kuasa dalam mengagihkan bantuan-bantuan dan pakej ransangan.

Seluruh rakyat Malaysia seharusnya berasa amat kecewa dan marah dengan pendedahan kes rasuah ini dalam perbelanjaan kerajaan melawan Covid-19.

Apa sudah terjadi dengan nilai integriti dalam masyarakat kita sehingga ada orang yang sanggup mengambil kesempatan daripada satu malapetaka yang mengorbankan begitu banyak nyawa manusia dan mengancam kehidupan semua rakyat Malaysia?

Rakyat Malaysia tidak boleh mengambil sikap tidak endah kepada masalah rasuah yang begitu teruk dan mesti tegas menuntut tindakan tegas diambil terhadap perasuah-perasuah yang tidak berperikemanusiaan ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu lebih telus dalam kes ini dan memaklumkan kepada orang ramai lebih banyak maklumat seperti kementerian dan jabatan kerajaan mana yang terlibat, sama ada kes terbabit melibatkan peringkat Menteri atau Timbalan Menteri, nilai rasuah yang diselewengkan dan sebagainya.

Orang ramai berhak mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan kes-kes rasuah tersebut tanpa menjejaskan proses siasatan SPRM.

Sekiranya identiti seorang Hakim Mahkamah Tinggi yang sedang disiasat oleh SPRM boleh didedahkan secara terbuka, saya yakin SPRM boleh mengambil tindakan yang sama dalam kes rasuah yang melibatkan kepentingan orang ramai seperti ini.

Saya juga menyeru Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk memanggil Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tampil memberi keterangan dan maklumat kepada PAC yang bertanggungjawab untuk memastikan setiap perbelanjaan kerajaan diurus dengan baik dan sempurna. – Roketkini.com