Kenyataan Akhbar

PH gesa sidang parlimen khas bincang RUU anti lompat parti

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa agar Perdana Menteri mengadakan Sidang Khas Parlimen sesegera mungkin bagi membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Sebelum ini beliau telah beberapa kali memberikan komitmen untuk membahaskan RUU tersebut, maka janji itu harus ditunaikan.

Selain RUU, Sidang Khas Parlimen ini juga harus membincangkan permasalahan dihadapi rakyat ketika ini antaranya kos sara hidup dan inflasi.

Juga harus dibincangkan adalah mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesan beberapa pembelian untuk sektor perkhidmatan kesihatan negara ketika pandemik COVID-19 melanda, terpalit dengan rasuah.

Justeru, Majlis Presiden menggesa Perdana Menteri untuk bertindak secepat mungkin bagi membolehkan kesemua perkara ini dibahaskan.

DS Anwar Ibrahim

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Hj Mohamad Sabu

Parti Amanah Negara (AMANAH)

Loke Siew Fook

Parti Tindakan Demokratik (DAP)

DSP Madius Tangau

Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)